KOTA BHARU - Dua lelaki didakwa di Mahkamah Seskyen di sini pada Rabu atas pertuduhan berasingan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di lokasi berbeza di Kuala Krai pada awal Januari lalu.
Tertuduh pertama Abdin Syakirin Hassan, 31, membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan selesai dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Bagaimanapun, tertuduh kedua Amirul Hakimi Hashim, 24, mengaku bersalah.
Mengikut pertuduhan, Abdin Syakirin didakwa merogol mangsa di tepi jalan Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Batu Mengkebang, Blok Pasir Putih, Kuala Krai pada 3 Januari lalu.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada jam kira-kira 3.30 petang.
Sementara itu, Amirul Hakimi pula didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa pada 4 Januari di RPT Batu Mengkebang, Blok Pasir Putih, dalam daerah sama.
Perbuatan itu dilakukan pada jam kira-kira 3.30 petang.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan manakala Amirul Hakimi tidak diwakili peguam.
Bagaimanapun, Abdin Syakirin diwakili oleh peguam, Wan Amani Wan Azimin.
Siti Hajar bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan yang dihadapi tertuduh adalah serius dan melibatkan kes rogol.
Bagaimanapun, Wan Amani memohon jaminan terhadap anak guamnya dengan alasan Abdin Syakirin hanya bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan tidak menentu, selain perlu menjaga ibu bapa uzur serta tiada risiko untuk melarikan diri.
Mahkamah membenarkan Abdin Syakirin diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Februari bagi serahan dokumen, manakala 28 Januari ini ditetapkan untuk fakta dan jatuh hukum bagi pengakuan bersalah Amirul Hakimi.