Polis siasat laporan lelaki nafi buat hantaran jelik hina Agong

Iklan
Polis membuka kertas siasatan susulan laporan seorang lelaki yang mendakwa identitinya digunakan dalam satu hantaran berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, di media sosial. Gambar hiasan (Gambar kecil: Balveer Singh)

JOHOR BAHRU – Polis membuka kertas siasatan susulan laporan seorang lelaki yang mendakwa identitinya digunakan dalam satu hantaran berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, di media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, satu laporan telah dibuat oleh seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun pada jam 8.34 pagi, Khamis berhubung hantaran tersebut.

Iklan
Iklan

"Pengadu menafikan tentang hantaran jelik di laman sosial Facebook yang dipercayai akaun palsu menggunakan gambar dan nama pengadu, iaitu 'Cayson Goh'.

"Hantaran dalam tulisan Cina itu membawa maksud ketua negara kita yang terhormat tiba-tiba bertukar menjadi anjing liar di hadapan bos Cina, diam-diam berdiri di sebelah bos Cina. Melayu adalah Melayu.

Iklan

"Jika mereka tidak dilatih, mereka tidak akan belajar dengan baik. Makan tulang,” katanya dalam kenyataan pada malam Khamis.

Menurut beliau, pengadu menafikan akaun Facebook tersebut adalah miliknya dan percaya ada pihak lain yang telah menggunakan nama dan gambarnya tanpa pengetahuan serta kebenarannya.

Iklan

"Kes disiasat mengikut Seksyen 416 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai orang lain dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

"Orang ramai digesa supaya tidak menyalahgunakan media sosial serta sentiasa menjaga sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja (3R) demi kesejahteraan negara," ujarnya lagi.

Sebelum itu, seorang pengguna Facebook ‘Cayson Goh’ didakwa membuat hantaran menggunakan kata-kata kesat berhubung keberadaan Sultan Ibrahim dalam sambutan negara terhadap Presiden China, Xi Jinping, pada Rabu.

Lelaki terbabit memuat naik tulisan itu dalam bahasa Cina dan terjemahan kata-kata terbabit didakwa mengandungi beberapa komen yang berunsur penghinaan terhadap Seri Paduka Baginda.

Bagaimanapun, Cayson Goh dalam hantaran di Facebooknya mendakwa nama dan gambarnya digunakan untuk membuka akaun baharu yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena lawatan Presiden China, Xi Jinping.

Menafikan membuat hantaran jelik itu, dia mendakwa pernah menjadi mangsa pada Mac lalu apabila gambarnya dieksploitasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan untuk mencipta video mempromosikan laman sesawang judi.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap seorang pengguna Facebook yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam laman sosial miliknya pada Rabu.