BINTULU - Bantuan kecemasan kepada penduduk terjejas banjir di beberapa kawasan di Bintulu dan Sebauh disalurkan segera walaupun berdepan kesukaran akibat kerosakan serta gangguan laluan jalan raya susulan hujan berterusan sejak kebelakangan ini.
Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, sebaik paras air menunjukkan peningkatan, pasukan kecemasan digerakkan bagi melaksanakan bantuan kecemasan serta penyelarasan bekalan ke kawasan terlibat.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu, meskipun beberapa laluan utama terjejas dan menyukarkan pergerakan, pasukannya tetap komited memastikan bekalan keperluan asas dapat dihantar kepada penduduk tanpa berlengah.
"Tiga buah rumah panjang di kawasan Ulu Sebauh, iaitu Rumah Saging, Rumah Dato Raymond dan Rumah Singer, terjejas akibat banjir susulan paras air sungai yang meningkat, menyebabkan sebahagian kediaman ditenggelami air manakala kawasan sekitarnya dikelilingi limpahan banjir yang masih belum surut.
"Bagaimanapun, laluan darat ke kawasan terjejas tidak dapat dilalui berikutan paras air yang masih tinggi, memaksa pasukan menggunakan bot untuk memasuki ketiga-tiga rumah panjang tersebut.
"Walaupun banyak jalan terjejas, pasukan terus menghantar bekalan ke kawasan terlibat bagi memastikan bantuan sampai kepada penduduk yang memerlukan,” katanya menerusi hantaran video di Facebook pada Rabu.
Beliau berkata, walaupun keadaan banjir beransur reda, tumpuan pasukan dialihkan kepada lawatan serta pemantauan di lapangan bagi menilai keperluan susulan dan keadaan semasa penduduk terjejas.
"Apabila ada kawasan banjir sudah beransur pulih, pasukan kami segera turun ke rumah panjang untuk berbincang secara langsung dengan komuniti setempat, selain mendengar dan memahami cabaran yang masih dihadapi akibat bencana tersebut.
"Bantuan serta tindakan susulan akan terus dilaksanakan sama ada ketika bencana berlaku mahupun selepas air banjir surut bagi memastikan kebajikan penduduk terus diberi perhatian," katanya.
Dalam pada itu, King Sing menasihatkan penduduk supaya terus berwaspada, memantau perkembangan cuaca semasa serta memastikan keselamatan persekitaran masing-masing sentiasa terjaga.
“Penduduk juga digalakkan menghubungi pihak berkaitan atau pasukan kami sekiranya berlaku sebarang keperluan kecemasan supaya bantuan dapat disalurkan dengan segera,” ujarnya.