IPOH - [DIKEMAS KINI] Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sudah mengambil tindakan terhadap pengerusi dan setiausaha sebuah masjid di Kuala Kangsar susulan kejadian seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berucap di masjid berkenaan baru-baru ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tindakan itu dibuat kerana semua pihak perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan seperti mana dititahkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bahawa masjid perlu bebas daripada parti politik.
Menurutnya, tiada sebarang pilih kasih dalam isu tersebut sama ada daripada pemimpin politik dari kerajaan mahupun pembangkang.
"Sukacita saya maklumkan semua orang termasuk Menteri Besar, kita terikat dengan titah Tuanku bahawa masjid tidak boleh digunakan oleh mana-mana ahli politik.
"Saya sudah maklumkan kepada dia (bekas ADUN berkenaan) bahawa kita terikat dan tidak boleh melakukannya. Bagaimanapun JAIPk telah mengambil tindakan kepada pengerusi dan setiausaha masjid berkenaan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Salehuddin Abdullah (PN-Selinsing) sempena Sidang DUN Perak pada Rabu.
Sementara itu, menjawab soalan lisan daripada Salehuddin, Saarani berkata, dalam memperkasakan institusi masjid di Perak sebagai pusat pembangunan komuniti terdapat tiga kluster program yang telah dan sedang dijalankan menerusi JAIPk iaitu pendidikan, ekonomi dan kebajikan masyarakat setempat.
Katanya, bagi kluster pendidikan, terdapat tiga program pendidikan yang telah dilaksanakan iaitu Sijil Pengajian Masjid, Kelas Pengajian Takmir dan Kelas Pengajian Profesional.
Menurutnya, bagi kluster kedua pula, program ekonomi melibatkan taklimat bantuan pertanian bagi tujuan komersial kepada masjid seluruh Perak telah diadakan pada 26 September 2024 membabitkan lima agensi kerajaan.
"Masjid turut melaksanakan program kebajikan masyarakat setempat. Kita sering menyaksikan masjid berperanan sebagai pusat agihan bantuan sama ada yang diberikan oleh pihak jawatankuasa kariah masjid tersebut atau penyumbang luar.
"Selain itu, melalui Program Masjid Sebagai Pusat Informasi Maya, Kelas Literasi Digital turut disediakan bagi meningkatkan kemahiran teknologi dalam kalangan masyarakat setempat," katanya.
Saarani berkata, bagi menarik golongan muda beriadah dan mendekati masjid pada waktu yang sama, kerajaan negeri melalui kerjasama JAIPk serta Jabatan Belia dan Sukan Perak telah melaksanakan program e-sukan di beberapa buah masjid.