BACHOK - Sebuah komuniti penduduk di sini menyahut cabaran mengusahakan tanaman bawang merah melalui kaedah fertigasi dalam usaha menangani isu kekurangan bekalan serta kenaikan harga bahan mentah itu di pasaran tempatan.
Tanaman yang diusahakan hujung Februari lalu itu melibatkan tiga komuniti iaitu Persatuan Komuniti Kampung Nenasi Beris Lalang, Pertubuhan Cakna Insan Komuniti Gelong Badak dan Pertubuhan Sejahtera Komuniti menerusi inisiatif Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani).
Penyelaras program, Che Mahmood Hashim, 66, berkata, sebagai permulaan sebanyak 13,200 benih bawang merah telah ditanam yang melibatkan 3,300 polibeg.
"Kami bertuah kerana mendapat bimbingan daripada MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia).
"Selain bantuan dari segi anak benih, pihak berkenaan juga membantu kami bagaimana untuk memastikan tanaman bawang merah ini berjaya dan dapat menghasilkan keuntungan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Gelong Badak di sini pada Selasa.
Menurut beliau, tanaman tersebut akan mengambil masa sekitar dua bulan 10 hari sebelum matang untuk dituai.
Ujarnya, penjagaannya juga tidak cerewet dan hanya perlu disiram tiga kali sehari.
Che Mahmood memberitahu, tanaman itu diusahakan oleh seramai 12 peserta secara berjadual.
"Kami menjangkakan hampir 1.7 tan bawang merah akan dituai pada hujung April ini dengan kadar harga jualan RM7 sekilogram.
"Insya_ALLAH jika tanaman secara infertigasi ini berjaya, kami juga dalam perancangan untuk menanamnya di atas batas," katanya.
Media tempatan sebelum ini melaporkan Projek SejaTi Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 memberi tumpuan kepada lima sektor utama iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraf tangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti, serta aktiviti Hijau dan kitar semula.
Inisiatif ini dijangka terus memainkan peranan penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi setempat menerusi pemberdayaan komuniti di seluruh negara.