KOTA BHARU - Aktiviti mendulang emas di Kelantan boleh dimulakan pada minggu depan apabila lesen kelulusan akan dikeluarkan pada Rabu depan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sebanyak 332 permohonan untuk aktiviti mendulang emas diterima kerajaan negeri setakat ini.
"Daripada jumlah itu 178 pemohon sudah melakukan pembayaran manakala yang selebihnya dalam penelitian.
"Mereka yang berjaya dibenarkan mendulang di lokasi yang diwartakan," katanya semasa sidang akhbar pada Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Menurut beliau, kerajaan negeri kini dalam proses mewartakan lima sungai yang dibenarkan bagi aktiviti berkenaan.
Ujarnya, sungai tersebut ialah Sungai Tadoh dan Sungai Pergau di Jeli, Sungai Gentian di Kuala Krai, Sungai Galas di Gua Musang dan Sungai Bertam di Tanah Merah.
Mohamed Fadzli memberitahu, hanya Sungai Tadoh membabitkan kebenaran mendulang sepanjang empat kilometer (km) manakala tiga sungai lagi, dua km.
"Kita berharap pendulang mematuhi peraturan yang ditetapkan dan mereka yang melakukan aktiviti mendulang tanpa lesen bermula Rabu depan akan dikenakan tindakan.
"Pihak penguatkuasa akan melakukan pemantauan di kawasan yang diwartakan itu," katanya.