KUALA TERENGGANU - Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris menyatakan kekesalan terhadap tindakan yang didakwa berunsur intimidasi politik terhadap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Menurutnya, situasi itu dirujuk berdasarkan gambar tular ketika pemimpin berkenaan didakwa ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Jelas beliau, gambar tersebut seolah-olah menggambarkan Ahmad Samsuri sebagai seorang pesalah besar apabila dipinggir, diawasi dan dipaksa menunggu tanpa diberikan layanan sewajarnya sebagai ketua kerajaan negeri.
"Apakah ini cara melayan seorang pemimpin negeri yang telah terbukti bersih, tidak pernah terpalit dengan salah guna kuasa, jenayah mahupun rasuah?" katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan alasan pihak tertentu yang mendakwa insiden tersebut sebahagian daripada prosedur biasa, sedangkan pengalaman peribadinya ketika berkunjung ke Sabah dan Sarawak tidak pernah berdepan situasi sedemikian.
"Sebagai Exco Pelancongan Negeri, saya sendiri pernah ke Sabah dan Sarawak atas urusan rasmi dan pelancongan. Tidak pernah sekalipun saya diarahkan menunggu seperti yang berlaku terhadap beliau," ujarnya.
Razali turut menegaskan bahawa Ahmad Samsuri bukan sebarangan individu kerana selain memegang jawatan Menteri Besar, beliau juga merupakan pakar aeroangkasa yang memiliki ijazah kedoktoran (PhD) dari United Kingdom.
"Mustahil beliau tidak faham hal asas seperti kuasa imigresen Sabah dan Sarawak.
"Isunya di sini bukan salah faham prosedur, tetapi kenapa hanya beliau dikenakan tindakan sebegitu? Mengapa 'VIP' lain, termasuk yang sedang menghadapi kes mahkamah, tidak diberi layanan serupa?" katanya lagi.
Razali berkata, pihaknya menghormati kuasa pihak berkuasa di Sabah dan Sarawak, namun dalam masa sama, menuntut keadilan dan layanan saksama untuk semua rakyat di negara ini.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar melihat isu ini secara adil dan berperikemanusiaan, serta tidak membiarkan institusi awam dijadikan alat untuk mengaibkan lawan politik.
"Rakyat hari ini celik dan matang dalam menilai. Mereka tahu membezakan antara prosedur biasa dan tindakan bermotif politik," katanya.
Khamis lalu, Ahmad Samsuri mendedahkan beliau dilabel dan ditanda sebagai individu di bawah status kawalan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) sejak pertengahan tahun lalu.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan tiada keperluan untuk meletakkan Ahmad Samsuri dalam Senarai Pekeliling Khas (SPK) kerana beliau bukan seorang penjenayah.
Razarudin turut menafikan dakwaan Ahmad Samsuri bahawa dirinya diletakkan di bawah status individu berisiko walaupun tanpa sebarang kesalahan yang sah.