‘Al-Fatihah adik, abang hanya mampu rakam video’

Iklan
Tangkap layar video tular yang memaparkan detik cemas seorang kanak-kanak lelaki yang hanyut dibawa arus deras ketika hujan lebat di Kota Masai.

BAYANGKAN jika tajuk ini benar. Seorang budak mati lemas di longkang dan satu-satunya perkara yang sempat dilakukan oleh lelaki dewasa di lokasi ketika kejadian itu ialah merakam video.

Kejadian seorang kanak-kanak dihanyutkan arus deras air longkang akibat hujan lebat baru-baru ini menunjukkan realiti sikap segelintir individu apabila berdepan kecemasan.

Iklan
Iklan

Mungkin sebab panik dan tidak tahu berenang, individu terbabit tidak bertindak menyelamatkan kanak-kanak tersebut, sebaliknya bersungguh-sungguh merakam video dengan alasan mahu menunjukkan bukti ada budak lemas di longkang berkenaan.

Syukur budak itu terselamat, tetapi jika mangsa tidak sempat berpaut pada akar pokok, kita mungkin sedang membaca tajuk berita ‘Al-Fatihah adik, abang hanya mampu rakam’.

Iklan

Inilah hakikat yang perlu kita telan. Di era sekarang, naluri merakam sering mengatasi naluri menyelamat.

Di saat genting yang memerlukan keberanian, kita lebih terfikir untuk mengeluarkan telefon bimbit dan menekan butang merakam video berbanding mencari sesuatu seperti kayu untuk membantu.

Iklan

Merak Jalanan bukan mahu menuduh atau berfikiran negatif tetapi apabila kita satu-satunya individu yang berada di lokasi orang meminta tolong, mengeluarkan telefon bimbit untuk merakam video bukanlah tindakan pertama yang patut kita buat.

Jika ada orang lain yang telah membantu, barulah wajar kita merakam detik pertolongan tersebut.

Tetapi andai kata kita adalah orang pertama melihat insiden sedemikian, ikhtiarlah sesuatu berbanding merakam video.

Bukan apa, nanti apabila melihat semula detik kematian seseorang dalam video yang kita sendiri rakam, takut timbul pula rasa menyesal dan terkilan sebab tidak berusaha membantu.

Semoga perkara ini menjadi iktibar buat kita semua. Kena tahu mana satu perlu diutamakan. Selamatkan nyawakah atau merakam detik tragedi?