Polis selesaikan kes samun bersenjata dalam tempoh kurang 24 jam

Iklan
Polis berjaya menyelesaikan kes samun bersenjata di Iskandar Puteri dalam tempoh kurang 24 jam selepas menahan suspek di kawasan Taman Ungku Tun Aminah. Gambar hiasan

ISKANDAR PUTERI - Polis berjaya menyelesaikan satu kes samun bersenjata dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian dilaporkan berlaku di Taman Nusa Bestari, Skudai.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian tersebut dilaporkan pada Rabu apabila seorang lelaki warga India berusia 35 tahun mendakwa telah disamun oleh seorang lelaki tempatan bersenjatakan objek menyerupai pistol.

Iklan
Iklan

"Hasil siasatan dan maklumat awam, sepasukan anggota dari Balai Polis Nusa Bestari berjaya menahan seorang suspek lelaki tempatan berusia 27 tahun di kawasan Taman Ungku Tun Aminah pada hari yang sama.

"Semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau dan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai berkaitan kes, termasuk sebuah motosikal, sebuah topi keledar, objek menyerupai sepucuk pistol serta kelopak, sebuah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM68.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula Khamis hingga Selasa ini bagi membantu siasatan.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, Seksyen 392 Kanun Keseksaan (merompak) dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan (merompak dengan bersenjata, atau menyebabkan kematian atau cedera).

"Kes juga disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 iaitu memiliki senjata tiruan. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun, denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya," katanya.