MINGGU kedua bulan Syawal di Malaysia menandakan tamatlah sudah percutian perayaan di kampung buat anak-anak perantauan.
Namun, dalam kesibukan kembali bekerja dan mengumpul semula tabungan yang sudah menyusut, satu trend baharu di media sosial mencuri tumpuan iaitu aksi menari sambil mengambil duit raya.
Ia bermula dengan gaya bersahaja, kini menjadi seakan 'ritual wajib' di sesetengah rumah terbuka. Ada yang menari solo, ada yang beramai-ramai, lengkap dengan muzik latar TikTok. Lebih kurang enak di mata apabila wanita yang sudah boleh dipanggil sebagai nenek pun hendak berjoget demi duit raya.
Merak Jalanan tertanya, ke mana hilangnya adab menerima duit raya yang dahulunya disambut dengan senyuman dan ucapan terima kasih?
Lebih membimbangkan, timbul pula dakwaan bahawa sesetengah gerakan tarian ini menyerupai tarian Yahudi. Walaupun tiada bukti kukuh, persepsi itu cukup mencetuskan kekeliruan, apatah lagi apabila ia melibatkan aspek budaya dan agama.
Apa pun asal-usulnya, yang pasti trend ini menggambarkan bagaimana generasi muda begitu mudah terikut-ikut dengan budaya luar tanpa menilai kesesuaian dengan norma tempatan.
Apa yang dianggap lucu di media sosial mungkin sebenarnya mencalar maruah budaya kita sendiri.
Masyarakat kita khasnya di Malaysia cukup kaya dengan budaya sopan santun hingga membuatkan orang luar jatuh cinta dengan negara ini. Jangan pula disebabkan tarian itu, kita jadi bahan ketawa orang asing pula.
Tidak salah untuk berhibur di hari raya tetapi biarlah dengan cara yang sopan. Jika mahu menari, ada tarian tradisional seperti zapin dan inang yang jauh lebih berakar dalam warisan kita.
Syawal bukan hanya tentang hiburan, tetapi juga refleksi nilai, adab dan identiti. Jangan kerana mahu tular, kita hilang arah dalam berbudaya.