Guru rugi lebih RM270,000 diperdaya sindiket penipuan

Iklan
Yahaya

KUANTAN – Seorang guru wanita mengalami kerugian lebih RM270,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan yang menyamar sebagai pekerja syarikat kurier dan polis.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 31 tahun diperdaya sehingga terpaksa membuat pinjaman peribadi daripada beberapa bank selain menggunakan wang simpanan serta wang dipinjam daripada ahli keluarga untuk diserahkan kepada suspek.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian menimpa mangsa bermula selepas wanita tersebut menerima panggilan daripada syarikat kurier berhubung bungkusan dihantar atas namanya yang berisi tiga kad pengenalan dan tujuh kad bank pada Julai tahun lalu.

"Mangsa menafikan kaitannya dengan bungkusan tersebut sebelum panggilan disambungkan kepada 'polis' kononnya bagi tujuan siasatan," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Yahaya berkata, mangsa diarahkan memohon pinjaman peribadi daripada beberapa bank dan perlu menyerahkan wang tersebut kepada Bahagian Pencegahan Wang Haram (AMLA) untuk membantu siasatan.

"Mangsa juga diarahkan untuk melapor diri setiap hari sepanjang siasatan dijalankan," tambahnya.

Iklan

Dalam tempoh 29 Julai 2024 hingga 9 Mac lalu, mangsa membuat 18 transaksi bayaran melalui 16 akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM270,120.

"Mangsa hanya menyedari ditipu selepas menghubungi polis untuk pengesahan pada 7 April lalu," jelasnya.

Beliau berkata, susulan kejadian tersebut, mangsa dinasihatkan membuat laporan polis bagi tindakan lanjut.

"Difahamkan bahawa, selain pinjaman peribadi, mangsa juga menggunakan wang simpanan dan wang yang dipinjam daripada ahli keluarga untuk membuat bayaran tersebut," katanya.

Yahaya menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan supaya segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

"Sentiasa peka terhadap perkembangan taktik penipuan dalam talian terkini kerana modus operandi penjenayah sentiasa berubah dan semakin canggih, seiring dengan perkembangan teknologi," ujarnya.