KOTA BHARU - Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan memiliki barangan kawalan berjadual iaitu diesel dengan nilai keseluruhan RM7,392.
Kedua-dua tertuduh, Mohd Shaifudin Mat Hassan, 46, dan Mohd Salman Hassan, 35, membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan di hadapan Hakim Zulkifli Abblah.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada 2 Februari tahun lalu kira-kira jam 5 pagi di satu lokasi di Jalan Kampung Gong Kala Sungai Petai, Pasir Puteh.
Mengikut pertuduhan, Mohd Shaifudin didapati memiliki minyak diesel sebanyak 3,993 liter manakala Mohd Salman membawa 3,393 liter barang kawalan itu dalam tangki empat segi, yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan tersebut secara runcit atau borong tanpa lesen sah.
Berikutan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhammadi Iman Masjur, menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 kepada kedua-dua tertuduh.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan jaminan RM12,000 untuk setiap seorang tertuduh selepas mendengar rayuan mereka.
Mohd Shaifudin, yang bekerja sebagai buruh, memberitahu mahkamah bahawa pendapatannya hanya sekitar RM30 hingga RM50 sehari selain menanggung bapa yang uzur dan nyanyuk.
Sementara itu, Mohd Salman yang bekerja sebagai pemandu lori, hanya mempunyai pendapatan lebih RM2,000 sebulan dan perlu menampung keperluan dua anak masih bersekolah manakala isteri bekerja sebagai tukang cuci.
Mahkamah menetapkan 13 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.