'Kalau boleh buat operasi setiap malam minggu'

Iklan
Antara aksi berbahaya dilakukan penunggang motosikal yang menimbulkan kebimbangan pengguna lebuh raya lain.

SHAH ALAM -"Beberapa kali hampir melanggar penunggang yang berlumba, sedangkan saya cuma mahu pulang ke rumah dengan selamat.”

Itu luahan salah seorang individu berkaitan kegiatan haram segelintir penunggang motosikal yang berlumba dan melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya Guthrie terutamanya ketika malam minggu.

Iklan
Iklan

Seorang wanita berusia 25 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Nadia berkata, dia berasa tidak selesa setiap kali menggunakan lebuh raya berkenaan ketika pulang lewat dari tempat kerja ketika malam minggu.

Beliau yang menetap di Sungai Buloh dan bekerja di Subang mengakui bergantung sepenuhnya kepada laluan itu untuk berulang-alik, namun pengalaman lalu membuatkan dia sentiasa berjaga-jaga.

Iklan

"Pernah sekali saya lalu kebetulan mereka sedang berlumba, walaupun saya memandu kereta, tetap rasa takut sebab mereka memecut laju dan tukar lorong secara mengejut.

"Ketika itu memang hampir berlaku pelanggaran, sejak kejadian itu, setiap kali lalu waktu malam, saya sentiasa ambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Iklan

Tambahnya, kegiatan berkenaan bukan sahaja membahayakan penunggang motosikal terbabit, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 30 tahun yang mahu dikenali sebagai Aiman berkata, dia sendiri beberapa kali pernah ‘diacah’ oleh penunggang motosikal untuk berlumba ketika melalui lebuh raya sama.

Katanya, dia kerap menggunakan laluan tersebut pada lewat malam dan awal pagi, namun memilih untuk tidak menggunakan lorong motosikal kerana keadaan yang terlalu sunyi.

"Bila lalu di laluan kenderaan lain pun jadi masalah, terutama malam minggu, ada penunggang yang menunggang melulu dan buat aksi berbahaya seolah-olah jalan ini milik mereka,” katanya.

Aiman turut menyuarakan sokongan terhadap tindakan pihak polis yang melaksanakan operasi besar-besaran bagi mengekang kegiatan perlumbaan haram di lokasi berkenaan.

"Tindakan segelintir mat rempit ini beri kesan besar, bukan saja membahayakan orang lain, malah beri imej negatif kepada penunggang motosikal yang patuh undang-undang.

"Saya sokong sepenuhnya operasi dijalankan pihak polis ini, dan masa sama kalau boleh adakan setiap minggu, biar kegiatan haram ini dihapuskan terus," katanya.

Pandangan sama dikongsi seorang lagi pengguna, lelaki berusia 40 tahun yang mahu dikenali sebagai Rahman yang berkata, kawasan sekitar lebuh raya itu sebelum ini memang kerap dijadikan lokasi perlumbaan haram.

Rahman berkata, dia yang sering membawa keluarga ke pusat beli-belah berhampiran dan menggunakan laluan berkenaan, pernah melalui pengalaman hampir terlanggar penunggang motosikal yang berlumba kira-kira tiga tahun lalu.

"Dulu hampir setiap minggu ada, sekarang masih ada, tapi sudah berkurang selepas polis kerap buat operasi,” katanya.

Rahman menyambut baik usaha berterusan Polis Diraja Malaysia dalam meningkatkan penguatkuasaan dan berharap tindakan tegas dapat diteruskan bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.

Sementara itu, ratusan motosikal ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada awal pagi Ahad.

Operasi dijalankan turut melibatkan sebanyak 147 saman atas pelbagai jenis kesalahan selain menahan 10 individu termasuk pelajar sekolah menengah dan pelajar kolej selepas dikesan terlibat dalam kegiatan samseng jalanan di sepanjang lebuh raya itu.

Risikan dan pemerhatian pihak polis di lokasi mendapati kumpulan berkenaan melakukan pelbagai aksi ekstrem termasuk berlumba sesama sendiri, melawan arus, selain aksi zig-zag dan ‘superman’ yang membahayakan nyawa.