KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Terengganu kerugian sebanyak RM64,200 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan menerusi panggilan telefon atau ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pihak Shopee dan pegawai polis pada 10 Januari lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata, wanita berusia 22 tahun itu menerima panggilan telefon kononnya daripada pihak platform e-dagang tersebut yang memaklumkan terdapat produk kesihatan milik mangsa yang menyebabkan pelanggan sakit.
Beliau berkata, panggilan telefon mangsa kemudian disambungkan kepada pegawai polis dan diberitahu bahawa dia turut terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.
"Mangsa ditawarkan bahawa namanya akan dibersihkan dan tiada waran tangkap akan dikeluarkan terhadapnya, namun dia perlu membuat bayaran.
"Susulan itu, mangsa telah membuat lapan kali transaksi ke dalam tujuh akaun berbeza berjumlah RM64,200.
"Mangsa turut diminta membuat laporan setiap empat jam kepada pihak terbabit. Mangsa yang menyedari sudah ditipu tampil membuat laporan polis pada Khamis lalu,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Azli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan sebarang dakwaan menerusi panggilan telefon daripada individu tidak dikenali, sebaliknya menyemak dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.