PASIR PUTEH - Seorang lelaki positif dadah dipercayai telah mengugut untuk membunuh anak perempuannya yang berusia dua tahun dalam kejadian di Jalan Pak Mayong, Tok Bali di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.25 pagi itu, suspek dikatakan ke tepi sebuah jeti sambil memegang serpihan botol kaca.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati suspek bertindak membawa kanak-kanak tersebut ke tepi jeti sambil memegang serpihan botol kaca yang telah pecah dan dipercayai diambil di sekitar kawasan berkenaan.
“Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis methamphetamine.
“Punca kejadian masih dalam siasatan lanjut pihak polis,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Menurut beliau, pemeriksaan fizikal mendapati kanak-kanak berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ujarnya, kanak-kanak tersebut telah dirujuk ke Hospital Tengku Anis untuk pemeriksaan lanjut dan pemantauan kesihatan.
Tambah beliau, polis kini menjalankan siasatan lanjut dan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
"Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta diminta memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis," katanya.