Integriti digital terancam akibat budaya tular tanpa semakan

Iklan
Program Forum Khas Integriti Di Era Digital & Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video Pendek "Integriti Dibina Rasuah Binasa", dari kiri Ismail Adnan selaku Moderator, Pengarah Pusat Kecemerlangan Melayu Universiti Malaya (UM) Datuk Profesor Dr. Kolonel Awang Azman, Presiden IKRAM, Badlishah Sham Baharin dan Ceo Salampro Group/ Professional Trainer, Salwa Mohd Saleh

SHAH ALAM - Perkembangan teknologi digital yang pesat hari ini bukan sahaja mengubah cara masyarakat berfikir dan berinteraksi, malah mencetuskan krisis nilai, autoriti serta budaya apabila prinsip integriti semakin terhakis dalam ruang maya.

Pengarah Pusat Kecemerlangan Melayu Universiti Malaya (UM), Datuk Profesor Dr Kolonel Awang Azman berkata, integriti sering disalah tafsir sebagai kejujuran individu semata-mata, sedangkan hakikatnya ia merupakan satu set nilai yang kompleks yang membentuk persepsi, norma, tanggungjawab dan kefahaman hidup dalam masyarakat.

Iklan
Iklan

“Integriti ini mudah disebut tetapi sangat mencabar untuk dilaksanakan kerana ia sepatutnya bermula daripada diri sendiri, keluarga, komuniti dan masyarakat.

"Apabila sistem nilai ini tergugat, pelbagai kesan boleh berlaku,” ujarnya ketika menjadi panel Forum Khas Integriti di Era Digital anjuran Sinar Harian dihoskan oleh Ismail Adnan secara langsung dari Studio Sinar Harian di sini pada Rabu.

Iklan

Menurut beliau, perkembangan teknologi yang terlalu pantas telah mengubah cara manusia bertindak dan menilai sesuatu sehingga mewujudkan krisis nilai apabila masyarakat gagal membezakan antara benar dan palsu, baik dan buruk.

Selain itu, katanya, krisis autoriti turut berlaku apabila institusi seperti agama, ilmu dan kepimpinan tidak lagi diyakini susulan kemunculan golongan ‘pakar jadi-jadian’ yang muncul hasil akses mudah kepada maklumat tanpa asas ilmu yang kukuh.

Iklan

“Apabila isu tata kelola dan rasuah dibongkarkan, masyarakat menjadi semakin sinikal. Persepsi berubah dan generasi muda pula semakin hilang kepercayaan terhadap institusi yang sepatutnya mempertahankan nilai,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan budaya sensasi dan budaya tular tanpa semakan menjadi punca krisis budaya apabila amalan ‘tular dahulu, semak kemudian’ semakin menular dan merosakkan sistem nilai yang selama ini dipertahankan institusi masyarakat.

Sementara itu, Presiden IKRAM, Badlishah Sham Baharin pula berkata, era digital menyaksikan sempadan antara hak dan batil serta benar dan palsu semakin kabur, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Menurut beliau, kajian menunjukkan 27 peratus pelajar sekolah pernah menjadi mangsa buli siber, manakala 13 peratus pula pernah membuli orang lain di alam maya, sekali gus mencerminkan kesan negatif globalisasi digital terhadap pembentukan sahsiah.

Jelasnya, keinginan untuk mendapatkan perhatian, ‘like’ dan populariti menyebabkan nilai etika dan moral diketepikan, manakala platform media sosial pula memanfaatkan psikologi manusia dengan menyebarkan kandungan berunsur ancaman, ketakutan dan keresahan bagi meningkatkan trafik.

“Budaya ‘viral dulu, semak kemudian’ inilah yang menjadi masalah besar. Kandungan yang menimbulkan rasa takut atau ancaman mudah menjadi tular dan akhirnya menjana keuntungan melalui pengiklanan,” ujarnya.

Beliau menegaskan peranan agama dan moral amat penting sebagai benteng dalaman atau ‘anchor’ bagi membina kepercayaan dan kawalan diri agar masyarakat lebih berhati-hati dalam menilai maklumat di ruang digital.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif SalamPro Group merangkap jurulatih profesional, Salwa Mohd Saleh berkata, teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) bukan punca keruntuhan integriti, sebaliknya hanya menyerlahkan nilai dalaman pengguna itu sendiri.

“Jika pengguna berintegriti dan mempunyai kompas moral yang baik, hasil penggunaan AI juga baik. Jika tidak, maka kesannya juga negatif,” ujarnya.

Beliau merujuk tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Kementerian Komunikasi yang mengarahkan penghentian sementara satu ciri aplikasi X di Malaysia susulan penyalahgunaan oleh pengguna tidak berintegriti.

Menurutnya, terdapat juga kes penipuan bantuan sosial yang berlaku tanpa melibatkan AI, sekali gus membuktikan bahawa isu sebenar ialah integriti manusia, bukan teknologi.

Salwa berkata, AI sebenarnya boleh menyokong integriti apabila digunakan secara beretika, termasuk oleh agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan institusi kewangan bagi tujuan analisis data serta pengesanan transaksi mencurigakan.

“AI bukan alat yang merosakkan integriti. Ia bergantung sepenuhnya kepada bagaimana ia digunakan. Akhirnya, kita perlu kembali kepada asas utama iaitu agama dan niat kerana niat yang baik tidak menghalalkan cara yang salah,” tambahnya.