Warga emas rugi lebih RM600,000 terpedaya skim pelaburan kripto

Iklan
Seorang warga emas berputih mata apabila wang pelaburannya berjumlah RM630,145 lesap selepas terpedaya dengan pelaburan dalam talian yang tidak wujud - Gambar hiasan

TANGKAK – Seorang warga emas berputih mata apabila wang pelaburannya berjumlah RM630,145 lesap selepas terpedaya dengan pelaburan dalam talian yang tidak wujud.

Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib, pihaknya mengesahkan menerima laporan daripada wanita warga emas berusia 73 tahun itu pada Khamis berhubung kejadian tersebut.

Iklan
Iklan

"Semuanya bermula apabila suspek yang menyamar sebagai ejen pelaburan mata wang kripto memasukkan mangsa ke dalam satu kumpulan WhatsApp dan menjanjikan keuntungan sebanyak 30 peratus daripada nilai pelaburan yang dibuat.

"Kerana yakin, mangsa telah membuat 10 transaksi ke lapan akaun syarikat berbeza yang disyaki sebagai ‘akaun keldai’ (mule account) dari 28 November 2024 hingga 13 Mac 2025.

Iklan

"Bagaimanapun, mangsa kemudian membuat laporan polis setelah menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Iklan

Polis turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.