SEREMBAN - Pengusaha restoran nasi kandar pastinya tersenyum lebar apabila premis mereka diserbu pelanggan berikutan kebanyakan kedai makan Melayu masih ditutup berikutan cuti Aidilfitri.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa restoran nasi kandar di daerah ini mendapati, orang ramai datang bersarapan dan makan tengah hari.
Malah, ada terpaksa beratur sehingga ke luar premis menunggu giliran mengambil makanan.
Rata-rata pelanggan memberitahu mereka sudah muak makan juadah Aidilfitri.
Pekerja swasta, Amirul Asyraf Ab Razak, 28, berkata selepas beberapa hari makan rendang dan lemang, tekaknya kini mahu mencari makanan lain pula.
"Di pejabat ada juga kawan membawa juadah raya, tapi rasanya dah muak nak makan banyak.
"Jadi, saya ajak mereka makan tengah hari di restoran mamak kerana kedai makan Melayu banyak tutup," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Katanya, peniaga makanan boleh mengaut keuntungan berlipat ganda sekiranya berniaga pada minggu pertama Aidilfitri.
Sementara itu, Aishah Ismail, 45, mengakui tidak kisah beratur lama kerana tiada pilihan lain apabila banyak kedai makan masih ditutup.
"Saya datang restoran ini sebab anak yang ajak kerana mereka muak makan rendang.
"Tapi kena bersabarlah sikit sebab orang ramai," katanya.
Dalam pada itu, penghantar makanan, Eiman Halim Ab Razak, 23, mendakwa mula bekerja pada hari raya kedua dan beberapa kali berulang-alik ke restoran mamak mengambil pesanan pelanggan.