Mangsa dibenar cetak semula dokumen kenderaan tanpa lapor polis - Anthony Loke

Iklan
Anthony Loke (duduk kanan) ketika melawat ke pusat pendaftaran Jabatan Pengankutan Jalan dibuka di PPS Masjid Putra Heights.

SUBANG JAYA - Kementerian Pengangkutan mempermudah urusan mangsa kebakaran di Putra Heights dengan membenarkan pencetakan semula dokumen penting kenderaan tanpa perlu membuat laporan polis.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif khas ini bertujuan mempercepatkan proses pemulihan mangsa, terutama dalam mendapatkan lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Vehicle Ownership Certificate (VOC) yang diperlukan untuk tuntutan insurans.

Iklan
Iklan

"Dalam keadaan biasa, laporan polis diperlukan bagi mencetak semula dokumen ini. Namun, bagi kes ini, kita memudahkan prosesnya. Mangsa hanya perlu memberikan nama dan nombor kad pengenalan untuk mendapatkan dokumen secara percuma," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika melawat mangsa kebakaran di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights, Subang Jaya, di sini pada Khamis.

Iklan

Turut hadir ialah Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han.

Selain itu, bantuan kenderaan sementara kepada mangsa turut diperkukuh dengan tambahan 30 buah kenderaan daripada syarikat swasta.

Iklan

Sebelum ini, sebuah syarikat automotif telah menawarkan 50 buah kenderaan, menjadikan jumlah keseluruhan yang disediakan kepada sekurang-kurangnya 80 buah.

"Kami terus berusaha mendapatkan lebih banyak sumbangan kenderaan daripada syarikat lain untuk kegunaan mangsa dalam tempoh pemulihan ini," tambahnya.

Selain itu, beliau turut dimaklumkan sekitar 70 motosikal dikenal pasti rosak atau musnah dalam kebakaran tersebut.

Anthony memaklumkan, pihaknya kini juga dalam usaha mendapatkan tajaan motosikal bagi membantu pemilik yang terjejas.

"Kami sedang berbincang dengan beberapa pihak bagi menaja motosikal kepada mangsa yang kehilangan kenderaan mereka. Sebarang perkembangan lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat," jelasnya.

Inisiatif ini merupakan usaha bersepadu antara kerajaan, agensi berkaitan dan sektor swasta dalam membantu mangsa bangkit semula daripada tragedi ini.