Harga lemang kekal seperti tahun lalu demi pelanggan setia

Iklan
Rozali mengusahakan lemang di Taman Chepor Indah, Chemor dekat Ipoh lebih sedekad lalu.

IPOH - Kenaikan harga bahan mentah bukan penghalang buat peniaga lemang di Taman Chepor Indah, Chemor di sini yang memilih untuk mengekalkan harga jualan sejak empat tahun lalu.

Pengusaha lemang, Rozali Man, 52, berkata, harga jualan lemang pulut, pulut hitam dan jagungnya itu bermula RM18, RM20 serta RM22 dikekalkan agar tidak membebankan pelanggan setianya.

Iklan
Iklan

"Harga sekilogram santan naik RM11.50 berbanding RM8 tahun lalu, buluh pula RM1.70 berbanding RM1.50 sebatang, beras pulut 50 kilogram juga naik kepada RM250 berbanding RM180 tahun lepas.

"Walaupun margin keuntungan sedikit, respons daripada pelanggan sebenarnya satu kepuasan apabila mereka gembira harga masih kekal meskipun mereka sedia maklum harga barangan makin naik,” katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, Aidilfitri sewajarnya diraikan dengan gembira tanpa perlu dibebani dengan kenaikan harga juadah itu.

"Saya sedaya upaya akan serapkan kenaikan harga bahan mentah ini demi kepuasan pelanggan setia.

Iklan

"Sekiranya ada kenaikan, saya berharap ia tidak ketara kerana kami hanya berniaga kecil-kecilan untuk Syawal dan Hari Raya Aidiladha sahaja,” katanya.

Sementara itu di KLUANG, tinjauan mendapati masih ada peniaga yang mengekalkan harga lama iaitu antara RM12 hingga RM20 sebatang kerana kos bahan mentah yang masih mampu ditampung.

Seorang peniaga, Adnan Ibrahim, 56, berkata, dia mengambil keputusan untuk mengekalkan harga antara RM12 hingga RM20, walaupun kos bahan mentah berlaku sedikit peningkatan.

"Tahun ini kita jual harga sama macam tahun lepas sebab tak jejaskan modal. Kenaikan harga santan pun kecil dan masih melalui pembekal santan yang sama sejak lebih 15 tahun lalu.

"Malah, saya bersyukur kerana jumlah pembeli serta jualan meningkat berbanding tahun lepas sebab tiada kenaikan harga lemang,” katanya.