Haramain tanah yang dirindui

Iklan
GUNALAH peluang ketika menjadi tetamu ALLAH untuk beribadah dengan ikhlas dan bukan sekadar melancong. Foto Canva

Kuasai ilmu sebelum mengunjungi Makkah dan Madinah, bukan sekadar melancong dan bersuka-suka

MENJADI tetamu ALLAH SWT di Baitullah al-Haram di Makkah dan Madinah sememangnya menjadi impian setiap Muslim.

Malah ada umat Islam yang sanggup mengeluarkan belanja untuk ke sana semata-mata mengejar pahala berlipat kali ganda mengerjakan umrah pada bulan Ramadan terutamanya dalam 10 akhirnya.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, segelintir masyarakat ada yang 'terbang' ke sana seolah-olah seperti pergi melancong ke mana-mana negara lain kerana sikap dan perbuatan yang ditunjukkan ketika berada di dua Tanah Suci itu.

Begitulah penjelasan Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Syed Mohd Jeffri Syed Jaafar mengenai perihal tersebut.

Iklan

Menurutnya, trend masyarakat berkunjung ke Tanah Haram untuk mengerjakan umrah selain ke Madinah dan tempat-tempat bersejarah umat Islam yang lain adalah sangat baik namun sikap dan perbuatan mereka hendaklah selari dengan niat untuk melakukan ibadah.

DR SYED MOHD JEFFRI

Iklan

"Kita perlu ingat, umrah adalah ibadah dan kita pergi ke Baitullah al-Haram di Makkah dan menjadi tetamu Nabi Muhammad SAW di Madinah al-Munawwarah itu tidak sama (keadaannya) seperti ke tempat lain.

"Dan kita tidak mahu jadikan umrah ini sebagai trend pergi melancong,” tegasnya dalam program Podcast POV Sinar Islam Plus bertajuk Haramain tanah yang dirindui yang disiarkan secara langsung di Facebook, TikTok dan YouTube Sinar Islam Plus dan Sinar Harian baru-baru ini.

Jelasnya, sepatutnya ibadah umrah yang dilaksanakan di Makkah itu memberi kesan kepada pelakunya selepas kembalinya ke tanah air.

"Bagaimanapun, sebahagiannya tidak menatijahkan kesan yang baik dan perubahan dalam kehidupan selepas itu.

"Ketika berada di sana, kita berdoa di sekeliling Kaabah agar umrah yang dikerjakan diterima ALLAH namun apabila pulang ke tanah air, kembali kepada asal sebagai contoh kembali buka aurat,” hurainya sedih dengan perkembangan itu.

Jelas beliau yang juga pembimbing umrah berpengalaman selama sembilan tahun di bawah Andalusia Travel & Tours, setiap umat Islam sepatutnya mempunyai perasaan takut dan bimbang dalam diri masing-masing selepas selesai mengerjakan ibadah umrah.

"Takut dan bimbang jika amalan dan ibadah yang dilakukan di Makkah itu tidak diterima ALLAH SWT.

Gunakan peluang jemputan ALLAH sebaik-baiknya

Oleh sebab itu Dr Syed Mohd Jeffri menjelaskan, janganlah mensia-siakan jemputan ALLAH SWT ke Makkah dan Madinah itu dan gunalah peluang tersebut dengan sebaik-baiknya untuk melaksanakan amal ibadah.

KUASAI ilmu dan hukum berkaitan umrah, Tanah Haram dan permusafiran sebelum berangkat mengerjakan umrah. Foto Canva

Mengulas mengenai kunjungan ke Tanah Haram, beliau menjelaskan ia boleh diibaratkan sebagai suatu penghargaan daripada pihak istana.

"Jadi bila ALLAH jemput kita ke rumah-NYA yang merupakan raja kepada segala raja, sudah tentu perasaan itu sangat terharu,” jelasnya.

Beliau kemudian membacakan sepotong hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sekiranya telah tiba bulan Ramadan, maka hendaklah kamu mengerjakan umrah. Ini kerana umrah pada bulan tersebut menyamai pahalanya seperti mengerjakan haji. Dalam riwayat Muslim: seperti mengerjakan haji bersama aku (Rasulullah SAW).” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Kuasai hukum, lantik mutawif

Ahli akademik itu turut menasihatkan umat Islam agar mempersiapkan diri dalam aspek penguasaan ilmu mengenai hukum-hakam yang terkait dengan ibadah umrah dan lain-lainnya.

"Saya pernah berjumpa dengan seorang yang baru sampai ke Makkah dengan menunggang motosikal namun tidak memakai ihram, di situ dia telah melakukan beberapa kesalahan antaranya melepasi miqat tanpa memakai ihram.

DR SYED MOHD JEFFRI (kanan) bersama hos, Muhamad Tarmize Mohd Nor dalam program Poscast POV Sinar Islam Plus yang disiarkan secara langsung baru-baru ini.

"Ada juga saya berjumpa dengan seorang wanita yang menangis di restoran sebuah hotel kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan kerana dia sedang dalam keadaan uzur syarie.

Sebaik-baiknya ujar Dr Syed Mohd Jeffri, jika seseorang kurang yakin dengan dirinya, lantiklah mutawif yang dipercayai dan boleh membimbing terutamanya berkaitan dengan hukum-hakam di sana.

Ini kerana katanya, jika seseorang itu tidak menguasai ilmu tersebut, kesannya akan menyebabkan ibadat yang dilakukan tidak sah sekali gus menyebabkan umrahnya tidak sempurna.

"Sebagai contoh, jika tawafnya tidak selesai, maka ibadah lain seperti sa'i tidak sah. Maka dia pulang ke Malaysia dalam keadaan dia masih berihram. Sebab itu pentingnya ilmu yang berkaitan itu,” katanya.