TREND golongan muda menunaikan umrah semakin ketara dan ia bukan lagi suatu perkara yang luar biasa.
Jika dahulu ibadah ini sering dikaitkan dengan golongan lanjut usia atau pesara, namun hari ini ia dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda termasuk di Malaysia.
Pengurus Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd cawangan Putrajaya, Ustaz Mohd Nor Hanafie Mohamad Zain menjelaskan, umrah yang dilaksanakan oleh golongan muda menunjukkan satu kesedaran bahawa ibadah itu tidak perlu ditangguhkan sehingga usia lanjut.
“Kini terdapat pakej promosi serendah RM4,990 yang disasarkan khusus untuk anak muda sebenarnya seperti ditawarkan Andalusia.
“Pakej ini biasanya menawarkan tempoh perjalanan yang lebih singkat sekitar sembilan hari dan tujuh malam, sesuai dengan komitmen orang muda yang tidak banyak cuti tahunan,” jelasnya ketika ditemui Sinar Islam Plus di pejabatnya di Presint 8, Putrajaya.
Jelas beliau, lokasi hotel yang sedikit jauh dari Masjidil Haram juga bukanlah satu halangan besar buat anak muda yang sihat dan masih kuat dari segi fizikal.
“Ini memang umrah untuk anak muda. Kita sedar jangkaan mereka berbeza. Fokus utama bukanlah keselesaan, tetapi ibadah,” ujarnya yang telah berkhidmat dengan Andalusia selama 14 tahun sejak 2011.
Ibadah fizikal dan mental
Meneruskan hujahnya, umrah merupakan ibadah yang memerlukan kekuatan tubuh badan dan ketahanan mental.
“Ibadah tawaf dan sa’i menuntut supaya berjalan jauh dalam keadaan berhadapan dengan ribuan umat Islam di dalam Masjidil Haram.
“Di sana kita memerlukan stamina yang kuat. Justeru, usia muda merupakan fasa terbaik untuk menunaikan ibadah ini.
Berdasarkan pengalaman membimbing jemaah umrah dan haji, beliau melihat semangat anak muda berbeza dengan golongan ‘veteran’ kerana mereka lebih jujur, ingin berubah dan lebih cepat tersentuh dengan suasana di Tanah Suci.
Persediaan awal menuju haji
Ustaz Mohd Nor Hanafie menambah, umrah di usia muda juga dianggap sebagai latihan dan persediaan awal sebelum menunaikan haji serta umrah juga turut disebut sebagai haji kecil.
“Memandangkan giliran haji masih panjang dan bergantung kepada kuota yang disediakan kerajaan Arab Saudi, umrah menjadi ruang awal kepada jemaah untuk memahami manasik (pelaksanaan) ibadah haji,” jelasnya.
Ujarnya, kebiasaannya jemaah yang pernah mengerjakan umrah, mereka akan menanam azam yang lebih kuat untuk kembali ke Tanah Haram bagi menunaikan ibadah haji apabila tiba masanya nanti.
Bakti kepada ibu bapa, jalan ke syurga
Beliau menyambung, antara kelebihan besar umrah di usia muda ialah kita berpeluang untuk berbakti kepada ibu bapa.
“Anak muda yang membantu ibu bapa ketika mengerjakan umrah, sebenarnya dia telah memudahkan perjalanan ibadah mereka yang mungkin mempunyai kekurangan dari sudut kesihatan atau kekuatan fizikal.
“ALLAH mengangkat darjat Uwais al-Qarni kerana bakti beliau terhadap ibunya,” ceritanya.
Tiada alasan tangguh umrah
Beliau menyambung lagi, pada hari ini, tiada alasan untuk umat Islam termasuk golongan muda untuk tidak melaksanakan ibadah umrah.
“Hakikatnya ramai anak muda sanggup berbelanja besar untuk membeli telefon pintar terbaharu atau melancong ke luar negara, namun mengatakan kos untuk mengerjakan umrah terlalu mahal.
“Melaksanakan umrah juga merupakan salah satu tanda kita bersyukur atas nikmat rezeki, kesihatan dan masa yang diberikan ALLAH, bahkan kehidupan lebih diberkati selepas pulang daripada Tanah Suci,” katanya.