Muda, bertenaga tunai umrah

Iklan
USIA muda memberikan banyak kelebihan ketika melaksanakan ibadah umrah dan ziarah di Makkah serta Madinah. - Muhammad Hilman

Muhammad Hilman dan Hani Mastura teruja berkongsi pengalaman umrah usia muda bersama keluarga, nikmat terbesar dalam hidup

BERBICARA tentang umrah, ia sering dilihat sebagai ibadah untuk golongan yang sudah berusia memandangkan mereka sudah stabil dari segi kewangan mahupun kehidupan.

Persoalannya, apakah anak-anak muda tiada keinginan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah dan Madinah atau apakah faktor kewangan tidak mengizinkan mereka ke sana?

Iklan
Iklan

Bagi mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia, Muhammad Hilman Ahmad Syakir, 21, jemputan mengerjakan ibadah umrah ketika usia muda tidak boleh dipandang remah, sebaliknya ia merupakan panggilan agung daripada ALLAH SWT kepada hamba-NYA.

Menurutnya, ajakan ibu bapanya, Ahmad Syakir Mohamad Sazili, 47, dan Khuraisah Mohd Nasir, 46, untuk berangkat ke Tanah Haram itu Ogos lalu merupakan satu peluang yang penuh bermakna baginya.

Iklan

“Alhamdulillah peluang ini hadir melalui ibu bapa yang mendapat limpahan rezeki ALLAH SWT dan ia dikongsi bersama kami,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Menurut adiknya pula, Hani Mastura, 19, beliau cukup teruja apabila dijemput untuk menunaikan umrah pada usia yang sangat muda.

Iklan

“Semasa di sekolah menengah, kami banyak belajar tentang ibadah haji dan umrah termasuk simulasinya. Dari situ saya menanam azam untuk menjejakkan kaki ke sana.

Teruja, kerdil di hadapan Kaabah

Detik awal perjalanan ke Tanah Suci dipenuhi dengan perasaan teruja dan gementar buat kedua-dua mereka.

Bagaimanapun, Muhammad Hilman memberitahu, tiada kata dapat digambarkan ketika pertama kali melihat Kaabah di depan mata dan ia menjadi momen yang sangat menyentuh hati.

Bagi Hani Mastura pula, dia sangat terharu dan merasa sangat kerdil, namun ALLAH SWT telah memilih mereka berdua bersama ibu bapa dan dua lagi ahli keluarga untuk berdiri serta beribadah di hadapan rumah-Nya, Baitullah.

“Ketika berada di dalam Masjidil Haram, saya melihat seorang lelaki dalam ihram berdiri sambil menangis, hanya suaranya kedengaran memanggil ALLAH tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.

Usia muda lebih fokus, bertenaga

Kedua-dua beradik ini bersetuju bahawa cuaca panas dan keletihan fizikal merupakan antara cabaran serta ujian utama mereka ketika berada di Tanah Suci.

“Bagaimanapun, usia muda dan tubuh yang sihat banyak memudahkan pergerakan serta pelaksanaan ibadah.

“Walaupun turut diuji aspek kesihatan seperti demam dan keletihan, saya sedar pengamalan ini mengajar bahawa kekuatan fizikal merupakan kelebihan, namun aspek kesabaran dan pengurusan diri tetap menjadi kunci utama dalam beribadah,” jelas Muhammad Hilman.

Tambah Hani Mastura, menunaikan ibadah umrah bersama ahli keluarga bukan sahaja menguatkan ikatan kekeluargaan dan menimbulkan rasa syukur yang mendalam dalam diri.

“Berada di Tanah Suci bersama ahli keluarga seumpama saya sudah memiliki segala-galanya.

“Bagaimanapun saya faham bahawa keluarga merupakan sebahagian daripada dunia yang sementara ini dan hubungan yang paling utama dan kekal ialah hubungan dengan ALLAH SWT.

Bagi Muhammad Hilman pula, usia muda memberi kelebihan kepadanya dari sudut tenaga, kesihatan dan ketenangan fikiran.

“Tanggungjawab hidup yang belum terlalu membebankan, membolehkan saya fokus sepenuhnya kepada ibadah dan penghayatan rohani,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Terhadap tanggapan bahawa umrah dan haji hanya sesuai untuk golongan lanjut usia, kedua-dua mereka berpandangan bahawa anak muda sering menganggap faktor kewangan dan stigma tidak layak kerana dosa sebagai halangan.

Hakikatnya, mereka berdua setuju bahawa peluang untuk ke Tanah Suci bukan ditentukan usia, tetapi niat, kemampuan diri dan jemputan ALLAH SWT.

Kepada golongan muda, mereka berdua berpesan, jika sudah mempunyai kemampuan kewangan, terimalah jemputan Ilahi untuk ke Tanah Suci itu dengan niat yang betul dan jangan bertangguh.

“Usia muda inilah kita perlu ambil peluang untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dalam keadaan masih sihat dan bertenaga.

“Tanam azam dan niat untuk bertandang ke sana mengerjakan ibadah umrah pada usia muda selain membuat perancangan kewangan yang berhemah,” ujar Hani Mastura.