KUALA LUMPUR - Seludup mercun menggunakan kenderaan persendirian dan bas ekspres melalui jalan tikus selain kapal kargo yang membawa barangan import sah di jalan laut antara taktik sindiket yang dikesan polis.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan mendapati mercun dibawa masuk melalui sempadan darat, laut serta dijual secara tersembunyi oleh premis yang memiliki lesen sah.
Menurut beliau, antara kaedah yang dikenal pasti termasuk menggunakan laluan haram di sempadan Malaysia-Thailand seperti di Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar.
"Sindiket dikesan menyembunyikan mercun dalam kenderaan persendirian seperti lori kargo serta bas ekspres bersama barangan sah seperti sayur, buah atau perabot.
"Selain itu, taktik lain yang dikesan digunakan adalah membabitkan penggunaan bot kecil atau kapal kargo yang membawa barangan import.
"Mercun disorok dalam kontena bersama barang dagangan lain dan dihantar ke pelabuhan rasmi di Sarawak dengan dokumen kastam yang sah yang menyenaraikan jenis mercun yang dibenarkan dijual,” katanya pada Selasa.
Beliau berkata, dalam beberapa kes, mercun yang dibenarkan turut dicampur dengan mercun larangan dalam satu kontena.
Tambahnya, siasatan juga mendapati ada pemilik premis berlesen yang turut menjual mercun tidak dibenarkan.
"Sindiket turut dikesan menggunakan orang tengah atau ‘runner’ untuk membawa masuk mercun dalam jumlah kecil tetapi kerap.
"Kebiasaannya, individu yang diupah sebagai ‘keldai’ ini terdiri daripada mereka yang sering berulang-alik ke luar negara, warga asing atau individu yang tidak menimbulkan syak,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, modus operandi penyeludupan secara berperingkat juga dikesan iaitu mercun dibawa masuk dalam kuantiti kecil sebelum dikumpulkan di lokasi tertentu untuk diedarkan.
"Sindiket juga menggunakan platform e-dagang dan media sosial untuk menjual mercun secara rahsia dengan penghantaran dibuat melalui pos atau serahan peribadi,” ujarnya.
Tambah beliau, antara jenis mercun terlarang yang diseludup adalah ‘Happy Boom Cake’, ‘Happy Boom Cracker’ lapan inci, ‘Happy Boom Assorted Celebartion Red Fire Cracker’, ‘Happy Boom Assorted Celebartion Red Fire Cracker Repeater’ dan ‘Happy Boom Shoot Cake’.
Katanya, permintaan untuk lima jenis mercun terbabit adalah tinggi di sepanjang musim perayaan kerana ia sukar didapati di pasaran tempatan.
Dalam pada itu, ujar Razarudin, pihaknya berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan mercun bernilai lebih RM106 juta tahun ini setakat 23 Mac.
Jelasnya, berdasarkan statistik, Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) merekodkan nilai rampasan tertinggi iaitu RM48,522,220 membabitkan lima kes dan enam tangkapan, manakala Pasukan Gerakan Am (PGA) mencatatkan 32 kes dengan 42 tangkapan dan nilai rampasan RM31,748,936.
"Pasukan Polis Marin (PPM) pula merekodkan 20 kes bernilai RM24,665,846 membabitkan 15 tangkapan, manakala Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) mencatatkan tiga kes dengan rampasan RM1,146,879 serta lima tangkapan.
"Secara keseluruhan, sebanyak 60 kes direkodkan dengan 68 individu ditahan dan nilai rampasan mencecah RM106,083,881," ujarnya.
Tegasnya, kegiatan penyeludupan mercun ini menunjukkan kewujudan jaringan terancang yang memerlukan pemantauan lebih ketat di sempadan serta usaha risikan siber yang lebih agresif.
"Kerjasama masyarakat amat penting dalam menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa mengekang aktiviti ini.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dengan pembelian atau penjualan mercun secara haram,” tambahnya.