KOTA BHARU - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menjangkakan 93 peratus padi yang diusahakan oleh pesawah seliaan agensi itu melibatkan keluasan 25,055 dapat dituai dengan jayanya musim ini.
Pengerusinya, Khalid Abd Samad berkata, walaupun berdepan dengan kemarau, serangan penyakit dan makhluk perosak seperti tikus serta burung namun ia tidak menjejaskan pengeluaran hasil.
"Alhamdulillah situasi ini bukan sahaja menggembirakan kami (KADA) malah para pesawah pastinya lega.
"Melihat kepada hasilan itu, ia boleh dianggap pengeluaran hasil terbaik bagi Musim 2/2024," katanya ketika ditemui pada Iftar Perdana KADA di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, setakat ini 4,574 hektar kawasan tanaman padi telah selamat dituai.
Ujarnya, KADA jangkakan proses ini akan selesai sepenuhnya pada Jun depan.
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata, pihaknya turut berusaha untuk mengukuhkan struktur ‘Sheet Pile’ sedia ada yang telah runtuh akibat bencana alam di Rumah Pam KADA di Kemubu.
Tambah beliau, melalui pengukuhan ini paras air dapat dikekalkan pada paras yang diperlukan untuk Kemubu 2 dapat terus digunakan sehingga tamat musim kemarau.
"Persetujuan dan kelulusan pihak kerajaan negeri sedang diusahakan untuk memperbaiki 'Sheet Pile' supaya paras air sungai yang lebih tinggi dapat dicapai.
"Dengan itu pam Kemubu 1 dapat digunapakai. Ini merupakan penyelesaian jangka masa panjang. Kerajaan negeri juga sudah menyatakan persetujuan proses baik pulih 'Sheet Pile' ini," katanya.
Menurut beliau, kerja-kerja itu dijangka siap pada Jun ini.