Pulau Pinang cadang tubuh Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang

Iklan
Kon Yeow memaklumkan, Kerajaan Pulau Pinang akan menubuhkan PIFC ketika sidang akhbar pada Rabu.

GEORGE TOWN - Pulau Pinang terus mengorak langkah sebagai pusat ekonomi utama negara apabila kerajaan negeri melalui Penang Institute mengumumkan penubuhan Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, langkah strategik itu sejajar dengan kedudukan Pulau Pinang sebagai Lembah Silikon Timur yang bukan sahaja terkenal sebagai hab perdagangan global, malah pemacu utama dalam industri pembuatan dan teknologi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penubuhan PIFC bertujuan menarik aliran modal baharu untuk mengukuhkan sektor semikonduktor di Koridor Utara, selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Strategi Semikonduktor Negara (NSS).

"Pusat kewangan ini juga akan memperluaskan pelaburan berasaskan teknologi, menyokong inovasi kewangan, serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan profesional.

Iklan

"Lebih penting, PIFC dijangka meningkatkan hasil negeri dan negara melalui produktiviti yang lebih tinggi, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan serantau," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di sini pada Rabu.

Tambah Kon Yeow, inisiatif itu merupakan bidang baharu bagi Pulau Pinang tanpa terlalu bergantung kepada sektor lain seperti elektrik dan elektronik (E&E) dan pelancongan.

Iklan

"Kita perlu mempelbagaikan ekonomi negeri. Kita tidak boleh selalu bergantung kepada sektor E&E, pelancongan dan sektor perkhidmatan. Ini pun (PIFC) salah satu sektor perkhidmatan tetapi amat khusus dan akan membawa impak yang besar," katanya.

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada usaha merealisasikan projek itu, Kerajaan Pulau Pinang telah menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Mac lalu untuk menyatakan komitmen terhadap penubuhan PIFC.

"Cadangan penubuhan PIFC ini baharu diserahkan kepada Perdana Menteri dan tidak adil untuk beliau memberi makluma balas secepat mungkin.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri yakin PIFC mampu menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi baharu dan berharap mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Persekutuan untuk menjadikan inisiatif ini satu kejayaan," ujarnya.

Sehubungan itu, Kon Yeow berkata, bagi memastikan kejayaan inisiatif itu, Penang Institute kini membuka penyertaan kepada institusi kewangan, pemaju hartanah, peneraju industri dan firma pelaburan yang berminat untuk menyumbang kepada pembangunan pusat kewangan tersebut.

"Dokumen penyataan minat (EOI) boleh diperoleh di Penang Institute mulai 17 hingga 26 Mac 2025 pada waktu pejabat, manakala tarikh akhir penghantaran cadangan ditetapkan pada 19 Mei 2025, jam 12 tengah hari.

"Inisiatif ini bukan sahaja akan melonjakkan sektor kewangan Pulau Pinang, malah bakal menjadikan negeri ini sebagai pusat inovasi kewangan yang kompetitif di peringkat antarabangsa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri komited untuk menyelesaikan isu penyaluran hasil projek pembangunan Bayan Mutiara yang tertangguh sejak 14 tahun lalu.

Kon Yeow berkata, hasil transaksi tanah berjumlah RM1.07 bilion daripada projek berkenaan telah dimasukkan ke dalam akaun hasil negeri antara 2011 hingga 2018.

Bagaimanapun katanya, hasil tersebut sepatutnya disalurkan kembali kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk membiayai projek perumahan mampu milik (AHS) di negeri ini.

"Sehingga kini, sebahagian dana telah digunakan bagi melaksanakan enam projek perumahan AHS termasuk di Bandar Cassia, Batu Kawan; Teluk Kumbar, Bayan Lepas; Kampung Jawa, Butterworth; Pintasan Cecil, George Town; Mak Mandin, Seberang Perai dan Bandar Cassia Fasa 4, Batu Kawan.

''Kerajaan negeri dan PDC telah membuat semakan dan mendapati masih terdapat sejumlah hasil yang perlu disalurkan kepada PDC. Oleh itu, saya bertekad untuk menyelaraskan dan menyelesaikan isu ini,'' katanya.