TOKYO - Pendaki yang mahu menawan mana-mana empat laluan utama Gunung Fuji bakal dikenakan bayaran masuk sebanyak 4,000 yen (RM127) bermula musim panas ini, selepas pihak berkuasa tempatan meluluskan rang undang-undang (RUU) pada Isnin.
Lonjakan pelancong asing ke Jepun mencetuskan kebimbangan terhadap isu kesesakan di gunung tertinggi negara itu, yang sebelum ini merupakan lokasi pendakian yang tenang.
Tahun lalu, wilayah Yamanashi, tempat terletaknya Gunung Fuji, telah memperkenalkan caj masuk 2,000 yen (RM64) serta sumbangan pilihan bagi laluan pendakian paling popular gunung berapi itu, Laluan Yoshida.
Selain itu, had kemasukan harian dan sistem tempahan dalam talian turut diperkenalkan di laluan tersebut berikutan kebimbangan pihak berkuasa terhadap aspek keselamatan serta kerosakan alam sekitar di lereng gunung yang megah itu.
Bagi musim pendakian dari Julai hingga September tahun ini, caj bagi Laluan Yoshida akan meningkat dua kali ganda, manakala wilayah Shizuoka pada Isnin turut meluluskan RUU bagi mengenakan caj 4,000 yen untuk tiga lagi laluan yang sebelum ini percuma.
Berikutan sekatan baharu itu, jumlah pendaki Gunung Fuji berkurang kepada 204,316 orang tahun lalu berbanding 221,322 orang pada 2023, menurut data Kementerian Alam Sekitar Jepun.
Walaupun angka pendaki masih jauh lebih rendah berbanding sebelum pandemik, pegawai Wilayah Shizuoka, Natsuko Sodeyama berkata, jumlah itu masih besar.
"Seramai 200,000 pendaki dalam tempoh lebih dua bulan adalah jumlah yang sangat ramai. Tiada gunung lain di Jepun yang menarik pendaki seramai itu dalam tempoh singkat. Jadi, sekatan tertentu perlu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan mereka," katanya kepada AFP.
Gunung Fuji dilitupi salji sepanjang tahun, tetapi ketika musim panas, ramai pendaki sanggup meredah lereng berbatu yang curam pada waktu malam bagi menyaksikan matahari terbit.
Gunung ikonik itu turut diabadikan dalam pelbagai karya seni, termasuk lukisan terkenal Hokusai, Great Wave. Letusan terakhirnya direkodkan sekitar 300 tahun lalu.