Lima individu, syarikat dikompaun ganggu penyu di Pulau Manukan

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai tindakan penyelam halang dan ganggu pergerakan penyu serta ikan yu paus di Pulau Manukan.

KOTA KINABALU - Lima individu dan syarikat yang dikaitkan dengan insiden gangguan terhadap penyu di Pulau Manukan, di sini yang tular di media sosial baru-baru ini, dikenakan kompaun.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata, kementeriannya amat memandang serius insiden terbabit.

Iklan
Iklan

"Tindakan individu-individu dalam video berkenaan adalah tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan prinsip pemuliharaan marin yang dipegang oleh Kerajaan Sabah.

"Melalui Taman-Taman Sabah (TTS), kementerian telah mengambil tindakan tegas di bawah Enakmen Taman-Taman 1984 (Pindaan 2024) dengan mengeluarkan notis kompaun kepada lima individu yang terlibat dalam insiden tersebut, serta syarikat yang bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Tambah Christina lagi, kementeriannya menggesa agar semua pengusaha pelancongan memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dan beretika dalam memastikan pelancong serta kakitangan sentiasa mematuhi garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan.

"Kesedaran dan pematuhan terhadap peraturan ini amat penting bagi memastikan kelestarian ekosistem marin Sabah untuk generasi akan datang.

Iklan

"Kerajaan negeri tetap komited terhadap pemuliharaan alam sekitar dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang hidupan liar serta ekosistem semula jadi, sama ada di dalam atau di luar kawasan taman yang diwartakan," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian pada Rabu lalu melaporkan sekumpulan penyelam dilihat menghalang pergerakan seekor penyu serta seekor ikan yu paus

Tindakan penyelam tersebut turut mengundang kecaman orang ramai termasuk Kelab Sabah Dive Squad yang menyatakan kebimbangannya kerana ia boleh membahayakan ekosistem laut.