PUTRAJAYA - Kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) memfokuskan kaedah baharu dalam menangani jenayah kewangan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki Baki menyatakan penghargaannya terhadap sokongan serta kerjasama berterusan organisasi tersebut dalam membantu Malaysia menangani isu jenayah rasuah di peringkat serantau dan antarabangsa.
"Dalam kerjasama ini, SPRM ingin memfokuskan kepada beberapa perkara penting seperti meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan kemahiran pegawai.
"Selain itu, ia menjadi pendekatan terbaik dalam menangani jenayah kewangan, kaedah baharu dalam pencegahan pengubahan wang haram dan pemulihan aset," katanya pada Sabtu.
Pada Jumaat, SPRM menerima kunjungan hormat daripada delegasi Pejabat UNODC diketuai oleh Ketua Pasukan Hab Antirasuah, Pejabat Serantau UNODC untuk Asia Tenggara, Annika Wythes.
Dalam pertemuan itu, Azam turut menyentuh berkenaan undang-undang berkaitan pendanaan politik yang perlu disegerakan dengan tumpuan awal diberikan kepada pendanaan kempen pilihan raya selain memfokuskan kepada Perjanjian Penangguhan Pendakwaan atau Deferred Prosecution Agreement (DPA).
Sementara itu, Annika menyatakan sokongan mereka serta menghargai komitmen SPRM terhadap inisiatif UNODC termasuk keterlibatan dalam beberapa program penting seperti penganjuran forum, latihan dan sebagainya.
Annika turut memberikan penghargaan kepada Malaysia yang bergiat aktif sebagai pemain industri di persada antarabangsa selain kedua-dua pihak berkongsi tatakelola baik dalam organisasi seperti pemerkasaan komunikasi dalam mengurus persepsi masyarakat dan menyampaikan maklumat tepat kepada kumpulan sasaran.
Dalam pada itu, SRPM turut menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjalinkan kerjasama dengan agensi antarabangsa.