ISKANDAR PUTERI - Di sebalik kesibukan menguruskan hal ehwal masjid, para jemaah di Masjid Jamek Al-Jawaher, Mutiara Rini di sini sentiasa mendekatkan diri dengan al-Quran.
Lebih menarik apabila mereka sepakat untuk melakukan aktiviti berkenaan secara santai dan menjadikannya sebagai amalan harian.
Menurut Ketua Imam di masjid berkenaan, Mohd Nor Abdullah, 66, idea berkenaan disambut baik oleh kebanyakan jemaah dan ahli kariah masjid tersebut.
Justeru katanya, tidak hairanlah jika jemaah sering menyaksikan mereka membaca al-Quran sambil ‘ngeteh’ di dapur masjid.
"Pada peringkat awal dulu hanya ada beberapa orang yang turut serta untuk sama-sama baca al-Quran secara santai macam ini. Lama-kelamaan, semakin ramai yang sertai kami,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Mohd Nor, budaya mengaji secara santai itu bermula pada 2018 ketika beliau dan beberapa kariah sering berkumpul di dapur masjid sambil menikmati teh panas.
Ujarnya, daripada sekadar bersembang kosong maka tercetuslah idea untuk mengaji al-Quran beramai-ramai secara santai.
Jelasnya, budaya tersebut kemudiannya diteruskan melalui penyertaan seramai 15 orang ahli kariah yang dibahagikan kepada dua kumpulan.
"Geng Ngaji Tiang baca al-Quran selepas solat Subuh di tiang masjid pada setiap hari manakala Geng Ngaji Meja Bulat mengaji di meja bulat dapur masjid setiap Isnin hingga Khamis jam 10 pagi.
"Bagi saya amalan ini membuktikan bahawa al-Quran boleh dibaca di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja walaupun sambil ‘ngeteh’. Paling penting niat yang ikhlas dan menjaga adab ketika membaca kalam ALLAH,” kongsinya.
Bagaimanapun, Mohd Nor berkata, amalan mengaji sambil minum teh itu tidak dilakukan sepanjang Ramadan melainkan bertadarus.
Dalam pada itu beliau turut menitipkan nasihat kepada semua khususnya golongan muda agar menjadikan al-Quran sebagai teman akrab dalam kehidupan seharian.
Katanya, al-Quran juga wajar dijadikan rujukan untuk menyelesaikan semua permasalahan yang wujud pada hari ini.
"Al-Quran adalah panduan lengkap kehidupan. Jangan biarkan ia tersimpan di rak tetapi jadikan ia peneman setia yang mendidik hati dan fikiran kita.
"Dunia hari ini penuh dengan cabaran, namun al-Quran menawarkan jalan keluar dan ketenangan bagi mereka yang sentiasa mendampinginya,” ulasnya.