SHAH ALAM - Penganjuran perdana World #QuranHour 2026 yang akan diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Gombak memberi kelainan apabila buat julung kalinya dilaksanakan dalam bahasa Inggeris.
Ketua Pegawai Content Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, keputusan menggunakan bahasa Inggeris itu dibuat bagi memperluaskan capaian mesej ke peringkat global, selari dengan nama 'World' yang dibawa kempen berkenaan.
Menurutnya, sebelum ini akses kefahaman terhadap mesej yang disampaikan menerusi program tersebut adalah terhad, khususnya peringkat antarabangsa.
"Jadi pada tahun ini, kita memilih menggunakan bahasa Inggeris dengan harapan mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat Malaysia dan seluruh dunia untuk menokbatkan al-Quran sebagai panduan dapat dicapai.
"Selain itu, keunikan penganjuran tahun ini ialah pemilihan Surah al-Muzzammil, surah ke-73 yang mengandungi 20 ayat berperanan sebagai panduan nabi untuk memperkukuh jati diri ketika menghadapi fasa tugas lebih besar.
"Mesej itulah yang ingin kita bawa kepada orang ramai. Oleh itu, diharapkan masyarakat dapat bersama-sama menghayati formula daripada pencipta bagi memperkukuh diri, negara dan dunia dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa," katanya kepada pemberita ketika hadir ke Taklimat Sinergi Media Sempena World #QuranHour 2026.
Penganjuran kali ke-11 World #QuranHour ini akan diadakan pada 11 Mac 2026 dengan tema 'Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia' berteraskan Surah al-Muzzamil.
Antara rakan media yang terlibat adalah Astro Oasis, TV AlHijrah, Media Prima, TV9, Astro Awani, Bernama, Sinar Harian, IKIM FM dan Astro Oasis selaku penyiar utama.
Selain itu, World #QuranHour tahun ini akan diserikan dengan keberangkatan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang merupakan Ketua Perlembagaan UAIM.
Tambah Fazrul, sejak 11 tahun lalu World #QuranHour dilaksanakan secara serentak di seluruh dunia dengan penyertaan pelbagai negara.
“Banyak negara turut menyertai World #QuranHour dan menggunakan bahasa masing-masing.
"Jadi, tahun ini kami berharap anak muda, institusi pengajian tinggi (IPT) serta pelbagai pihak dapat bersama-sama hadir bagi memeriahkan majlis,” ujarnya.