SHAH ALAM – Penganjuran World #QuranHour dalam bahasa Inggeris dilihat mampu memperluaskan capaian mesej al-Quran ke peringkat global, namun terjemahan wajar disediakan agar kefahaman tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja.
Pensyarah Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Khairul Anuar Mohamad berkata, al-Quran bersifat lil ‘alamin iaitu diturunkan untuk seluruh manusia tanpa mengira bangsa dan bahasa.
Menurut beliau, keistimewaan al-Quran berbeza dengan buku atau bidang ilmu lain yang lazimnya hanya difahami kelompok tertentu sahaja.
“Berlainan dengan al-Quran yang boleh dibaca dan dipelajari oleh manusia di seluruh dunia walaupun bukan penutur bahasa Arab.
“Walaupun seseorang itu tidak memahami bahasa Arab atau tidak pernah belajar di negara Arab, dia masih boleh membaca al-Quran dengan bacaan yang baik melalui didikan guru. Itu menunjukkan keagungan dan mukjizat al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Ujarnya, al-Quran turut menuntut manusia melakukan tadabbur iaitu memahami dan menghayati mesej yang disampaikan supaya memberi kesan yang baik dalam kehidupan.
Sehubungan itu, beliau berpandangan, penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam program dilihat mempunyai kelompok audiens tersendiri dan mampu membantu usaha memperluaskan penyampaian mesej al-Quran ke peringkat antarabangsa.
Namun katanya, bahasa tetap memainkan peranan penting kerana tidak semua masyarakat menguasai bahasa Inggeris.
“Perlu juga disediakan terjemahan supaya mereka yang tidak memahami bahasa Inggeris tetap boleh mendapat manfaat yang sama melalui kupasan dan tadabbur yang disampaikan oleh penceramah, termasuk melalui penggunaan teknologi moden seperti aplikasi terjemahan dan kecerdasan buatan (AI),” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Pegawai Kandungan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, keputusan menggunakan bahasa Inggeris dibuat bagi memperluaskan capaian mesej ke peringkat global selari dengan nama ‘World’ yang dibawa kempen berkenaan.
Menurutnya, sebelum ini akses kefahaman terhadap mesej program tersebut agak terhad khususnya di peringkat antarabangsa.