SHAH ALAM - Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menolak Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Perpaduan menimbulkan persoalan tentang kesediaan beliau dalam mengisytiharkan harta.
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar berkata, meskipun pihak berkenaan tidak bersetuju dengan kandungan MoU tersebut, parti itu seharusnya mengambil pendekatan lebih matang melalui cadangan pindaan atau berbincang secara konstruktif.
"Keengganan Muhyiddin untuk menandatangani MoU ini boleh dianggap sebagai satu bentuk penolakan terhadap prinsip ketelusan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Muhyiddin menolak MoU disebabkan oleh syarat yang ditetapkan kerajaan disifatkan terlalu ketat dan tidak adil.
Beliau berkata, dalam syarat tersebut, PN seolah-olah perlu menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan hanya untuk mendapatkan sejumlah peruntukan.
Tambah Haziq, MoU berkenaan tidak bersifat politik semata-mata tetapi bertujuan untuk menjamin kestabilan negara serta memperkukuh perpaduan nasional.
"Muhyiddin perlu memberi penjelasan mengenai keengganan PN menandatangani MoU ini.
"Adakah beliau menolak kerana tidak tidak mahu mengisytiharkan harta? Adakah PN enggan menahan diri daripada mengeluarkan kenyataan yang berbaur kebencian dan hasutan berkaitan isu bangsa dan agama?
"Persoalan-persoalan ini perlu dijawab demi kepentingan negara dan rakyat Malaysia,” katanya.