Dr Ahmad Sanusi tegur artis, masyarakat jangan normalisasi maksiat

Iklan
BERPEGANGAN tangan dan bertepuk tampar antara lelaki dan wanita merupakan salah satu perbuatan maksiat, melainkan pasangan tersebut telah menikah. Foto Canva

MAKSIAT menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud perbuatan yang melanggar perintah ALLAH atau perbuatan yang berdosa dan keji.

Jika zaman dahulu, seseorang yang melakukan maksiat dengan sedaya upayanya akan menyembunyikan perbuatan tersebut daripada pengetahuan orang ramai.

Iklan
Iklan

Bayangkan kesannya kepada masyarakat terutamanya anak muda dan kanak-kanak jika perbuatan maksiat terus ditayangkan kepada mereka, lebih-lebih lagi daripada golongan artis atau pempengaruh yang menjadi idola dan ikutan mereka, sudah tentu kemaksiatan akan terus semakin berleluasa.

Bimbang dengan keadaan yang semakin memburuk itu, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi tampil ke hadapan untuk menegur mereka.

Iklan

DR AHMAD SANUSI

Beliau berpesan kepada golongan atau pasangan yang belum berkahwin, janganlah menormalisasikan perkara yang dilarang ALLAH.

Iklan

"Rasulullah SAW memberikan amaran yang keras kepada pasangan yang bercinta namun mereka seronok berpegangan tangan,” hurainya di akaun Facebooknya pada Isnin.

Rasulullah SAW bersabda: "Andai sekiranya kepada salah seorang antara kamu ditusuk dengan jarum besi, itu adalah lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal buat dirinya.” (Hadis Riwayat At-Tabaroni)

Ujarnya, apatah lagi sekiranya yang melakukan itu merupakan seorang yang dikenali ramai, namun dia menunjukkan contoh yang bercanggah dengan perintah ALLAH SWT.

Hujah tersebut berdasarkan hadis Rasulullah SAW: "Dan barang siapa yang melakukan perbuatan jahat dalam Islam, lalu diikuti oleh orang yang lain, maka akan ditulis baginya dosa bagi orang yang melakukan perbuatan tadi, tidak berkurang sedikit pun daripada dosa tersebut.” (Hadis Riwayat Muslim)

POSTER yang dikongsikan Dr Ahmad Sanusi melalui Facebooknya.

Bagi orang awam pula, Dr Ahmad Sanusi berpesan, janganlah menunjukkan sokongan terhadap perbuatan yang bertentangan syarak.

"Jangan pula kita berkongsi dan turut menyebarkan kerosakan ini. Malah kerosakan yang disenyapkan ini mengundang azab ALLAH,” jelasnya.

Ia sepertimana sabda Rasulullah SAW:"Tidak ada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dalam kalangan mereka yang mampu mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Sementara itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-39 yang bersidang pada 21 September 1995 dalam Garis panduan mengenai maksiat dalam Islam menjelaskan maksiat dari segi bahasa bermakna derhaka.

"Dari segi istilah ialah perbuatan yang membawa dosa iaitu yang bertentangan dengan akidah, syariat dan ajaran Islam sama ada dengan melakukan larangan ALLAH dan rasul atau meninggalkan suruhan ALLAH dan rasul-NYA.

Hurainya, maksiat terbahagi kepada dua jenis:

1 – Maksiat kepada ALLAH dan rasul iaitu meninggalkan perintah-NYA dan melakukan larangan-NYA.

PERBUATAN maksiat yang ditayangkan secara berleluasa di media sosial akan memberi pengaruh dan kesan buruk kepada golongan muda. Foto Canva

2 – Maksiat terhadap makhluk iaitu maksiat terhadap manusia, maksiat terhadap haiwan dan alam sekitar serta maksiat terhadap harta awam.

Ujarnya, maksiat dalam apa jua bentuk sama ada kepada ALLAH, kepada manusia dan makhluk boleh merosakkan agama, iman, akhlak, kemuliaan diri dan kesejahteraan individu, keluarga, masyarakat, negara dan umat.