Dilema kerjaya pramugari: Apa panduan Islam?

Iklan
PRAMUGARI beragama Islam sepatutnya dibenarkan untuk menutup aurat dengan sempurna ketika bertugas dan tidak dilibatkan dengan arak. Foto Canva

KERJAYA sebagai pramugari dan pramugara sering digambarkan sebagai pekerjaan yang glamor dan dalam kelas tersendiri.

Bagaimanapun, di sebalik imej kemas dan cantik di hadapan semua penumpang itu, ramai dalam kalangan pramugari dan pramugara tersebut, khususnya yang beragama Islam berhadapan dengan dilema moral serta hukum syarak yang semakin hangat dibincangkan.

Iklan
Iklan

Isu ini bukan sekadar persoalan berkaitan pakaian seragam, namun ia merangkumi keseluruhan suasana kerja yang kadangkala bercanggah dengan prinsip agama.

Dalam masa sama, ia melibatkan sumber pendapatan, tanggungjawab terhadap keluarga dan masa depan kerjaya yang sudah lama dibina.

Iklan

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam hal ini, tampil memberi panduan dan penjelasan kepada umat Islam yang bekerja sebagai pramugari dan pramugara ini, yang diterbitkan melalui artikel Irsyad Hukum siri ke-940: Kerjaya kru penerbangan dari neraca syariah: Menyantuni keperluan semasa dengan nilai dan hukum Islam baru-baru ini.

Menurutnya, bekerja sebagai kru penerbangan pada asalnya harus selagi ia tidak bercanggah dengan hukum dan etika Islam.

Iklan

“Namun, sekiranya pekerjaan tersebut melibatkan unsur haram atau maksiat, maka pekerjaan sebegini boleh dihukumkan sebagai haram.

“Oleh itu, setiap Muslim yang menceburi bidang ini perlu menjaga akhlak, amanah serta memastikan segala tugasan dan tanggungjawab yang dilakukan sentiasa selaras dengan syariat Islam.

Hukum dan etika berkaitan kru penerbangan

Menurutnya lagi, kerjaya kru penerbangan merupakan bidang pekerjaan yang menuntut tahap profesionalisme, tanggungjawab dan disiplin tinggi dalam memastikan keselamatan serta keselesaan penumpang sepanjang perjalanan.

PEJABAT Mufti Wilayah Persekutuan menyediakan panduan kepada pramugari dan kru penerbangan agar mereka juga dapat mengamalkan ajaran Islam walaupun ketika bertugas di udara. Foto Canva

“Namun dari sudut pandang Islam, setiap pekerjaan bukan sahaja dinilai dari sudut kemahiran dan kecekapan, tetapi juga perlu mematuhi prinsip hukum dan etika yang berlandaskan syariat.

Antara isu utama adalah seperti berikut:

1 – Aurat dan pakaian seragam

Kewajipan pramugari dan pramugara untuk mengenakan pakaian yang menutup aurat merupakan tanggungjawab penting bagi mereka yang beragama Islam, ujarnya.

“Ia merupakan satu tuntutan syarak yang wajib dipatuhi setiap individu sebagai tanda ketaatan kepada perintah ALLAH SWT.

“Walaupun kru penerbangan bekerja dalam industri yang menekankan penampilan kemas dan profesional, pematuhan terhadap prinsip menutup aurat juga perlu diutamakan selaran dengan tuntutan syarak.

“Selain itu, pakaian yang sipan dan menutup aurat juga menggambarkan keperibadian yang berdisiplin dan berakhlak mulia, sekaligus mencerminkan imej positif terhadap agama Islam di mata masyarakat dunia,” jelasnya.

Bagi memenuhi tuntutan syarak dan nilai Islam:

A - Pramugari yang beragama Islam perlu memastikan seluruh anggota badannya ditutup melainkan muka dan tapak tangan sahaja

C – Bagi pramugara Islam, kebiasaannya pakaian uniform mereka telah menutupi kawasan aurat lelaki iaitu antara pusat hingga ke lutut.

D – Bagaimanapun, pramugara perlu memastikan perhiasan yang dipakai mereka tidak melampaui batas hukum syarak iaitu mengelakkan perbuatan berhias menggunakan emas, memakai gelang, rantai dan seumpamanya yang dilarang Islam.

2 – Penjagaan batas pergaulan

Tugas kru penerbangan melibatkan interaksi antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Oleh itu katanya, batas pergaulan perlu dijaga mengikut panduan syarak agar tidak berlaku percampuran yang dilarang.

Dalam konteks ini, panduan menjaga hubungan antara kru lelaki dan wanita boleh dirumuskan seperti berikut:

A – Tidak berkhalwat (berdua-duaan) di tempat tertutup iaitu di kawasan yang tidak dapat dilihat oleh orang lain sekiranya tiada sebarang urusan darurat dan urusan keperluan mendesak.

KERJAYA kru penerbangan dihukumkan harus selagi tidak terlibat dengan maksiat dan unsur haram seperti arak. Foto Canva

B - Setiap petugas kru penerbangan mestilah menutup aurat dengan sempurna ketika berhadapan dengan petugas lain atau penumpang yang berlainan jantina.

C - Setiap petugas kru penerbangan juga perlu menjaga serta menundukkan pandangan pada kadarnya ketika melakukan tugasan mereka.

D - Petugas kru penerbangan dalam kalangan wanita tidak boleh menggunakan suara yang lunak dan manja ketika berkomunikasi dengan lelaki asing serta tidak menunjukkan reaksi dan lenggok badan yang boleh menimbulkan syahwat.

Berdasarkan kepada penjelasan ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan merumuskan bahawa percampuran antara lelaki dan wanita yang bukan mahram bukanlah dihukum haram secara mutlak.

“Namun, sekiranya percampuran ini berlaku dalam keadaan tidak melampaui batasan-batasan yang telah ditetapkan di atas, maka ia diharuskan oleh syarak,” katanya.

3 - Rukhsah sebagai musafir

Dalam konteks petugas kru penerbangan, mereka dan para penumpang dikira sebagai orang yang bermusafir dan layak untuk mendapatkan keringanan dalam melaksanakan ibadah yang berkaitan terutamanya ibadah solat dan ibadah berpuasa.

“Petugas kru penerbangan boleh mengambil rukhsah musafir dalam ibadah solat iaitu dengan melaksanakannya secara solat qasar dan juga secara solat jamak.

“Rukhsah ini menunjukkan bahawa Islam merupakan agama yang fleksibel dan mengambil kira kesukaran yang dihadapi oleh petugas kru penerbangan, agar mereka tetap dapat menunaikan ibadah dengan sempurna tanpa terbeban,” katanya.

4 – Hukum permusafiran wanita tanpa mahram

Dalam melaksanakan tugasan sebagai kru penerbangan, petugas wanita biasanya akan bermusafir untuk melaksanakan tugasnya tanpa mahram.

“Secara asasnya, majoriti fuqaha berpandangan bahawa pemusafiran wanita tanpa mahram adalah diharamkan, berpandukan kepada pelbagai hadis

Justeru katanya, dalam konteks pekerjaan sebagai kru penerbangan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berpandangan bahawa pemusafiran atas tujuan ini adalah dihukumkan sebagai harus setelah meneliti realiti dalam industri penerbangan yang ternyata keselamatan seluruh krew penerbangan adalah terjamin.

5 - Penyediaan dan penghidangan arak

Secara umumnya, sebahagian syarikat penerbangan komersial menawarkan kepada para penumpangnya minuman keras sebagai sebahagian daripada perkhidmatan dalam penerbangan, khususnya di kelas perniagaan dan kelas pertama.

“Ini dianggap sebagai satu bentuk layanan antarabangsa yang sudah lama diamalkan dalam industri penerbangan global.

PEJABAT Mufti Wilayah Persekutuan menasihatkan syarikat penerbangan agar berusaha menjadikan perniagaan mereka sebagai patuh syariah. Foto Canva

“Dalam keadaan ini, pramugara dan pramugari yang beragama Islam haram sekali untuk terjebak dengan penyediaan dan penghidangan arak,” ujar Pejabat Mufti itu.

“Dalam konteks kerjaya sebagai pramugara, penyajian arak bukanlah sesuatu tugasan yang pasti, sebaliknya ia bergantung kepada jenis penerbangan dan juga permintaan daripada pelanggan.

“Atas dasar ini, maka kerjaya pramugara atau pramugari dalam konteks ini masih dianggap sebagai kerjaya yang tidak bercanggah dengan hukum syarak.

“Bagaimanapun, sekiranya pada keadaan tertentu yang menyebabkan seseorang pramugara atau pramugari terpaksa terlibat dalam tugasan penyajian arak, maka sewajarnya bagi petugas tersebut untuk mengeluarkan sedekah daripada sebahagian pendapatannya bagi membersihkan hasil pendapatannya itu daripada perkara-perkara yang haram,” jelasnya panjang.

Selain itu katanya, dinasihatkan juga kepada para petugas kru penerbangan yang terlibat dengan tugas-tugas penyediaan dan penyajian arak agar dapat berbincang dengan pihak majikan untuk mengelakkan diri daripada terlibat dengan tugasan-tugasan tersebut.

Sebagai kesimpulan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menasihatkan semua pihak pengurusan syarikat penerbangan agar berusaha untuk menjadikan syarikat penerbangan yang mematuhi syariah dan memberi ruang kepada para pekerja mengamalkan amalan agama agar mereka berasa tenang dan selesa untuk bekerja.

“Dengan memastikan segala etika dan hukum berkaitan kerjaya sebagai petugas kru penerbangan, maka kami rumuskan juga bahawa pendapatan yang terhasil daripadanya juga dihukumkan sebagai pendapatan yang halal,” katanya.