NEGARA sebelum ini dikejutkan dengan insiden kematian seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang dipercayai tercekik gula-gula kenyal jenis ‘Gummy’ pada 18 Februari lalu.
Makanan ringan tersebut dilaporkan dijual di setiap kawasan berhampiran sekolah di Pulau Pinang.
Kanak-kanak, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang pada 21 Februari sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada malam itu.
Terbaharu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow mendedahkan terdapat pula trend gula-gula berbentuk peranti vape dan jarum suntikan yang semakin banyak dalam pasaran tempatan.
Ia juga menimbulkan kebimbangan kerana dikhuatiri produk sedemikian mampu mempengaruhi kanak-kanak dan menarik minat mereka dalam tabiat merokok serta menghisap vape.
Subbarow berkata, produk berwarna-warni itu menarik perhatian kanak-kanak seawal usia 3 tahun dan mampu menjadi pintu masuk kepada ketagihan vape apabila mereka meningkat usia.
Menurutnya, kanak-kanak yang tertarik dengan bentuk gula-gula menyerupai peranti vape atau rokok ini akan cenderung untuk terus membelinya sekali gus menormalkan budaya merokok sejak kecil.
Sekiranya dibiarkan begitu sahaja tanpa tindakan daripada pihak berkuasa, ia akan mendorong kepada peningkatan kadar ketagihan pada usia muda.
Ia kerana golongan anak muda merupakan fasa untuk mereka mengenal pelbagai perkara termasuk mencuba sesuatu tanpa memikirkan kesannya pada jangka masa panjang.
Semakin muda seseorang terdedah kepada rokok atau vape, semakin tinggi peluang mereka untuk menjadi ketagih.
Dengan pengenalan produk berbentuk gula-gula ini, kanak-kanak yang terdedah mungkin mula mencari cara untuk mendapatkan produk yang lebih berbahaya ini.
Isu berkenaan menjadi salah satu cabaran besar kerajaan dalam usaha memerangi ketagihan merokok dan vaping di negara ini.
Jika produk berbentuk gula-gula ini terus berada di pasaran, ia akan menyukarkan usaha pendidikan kesihatan awam yang bertujuan untuk mengurangkan kesan negatif merokok dan vaping, serta meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penggunaan produk tersebut.
Justeru, tindakan segera perlu dilakukan bagi menangani situasi tersebut termasuk penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat mengenai penjualan produk tersebut.
Ibu bapa dan ahli keluarga juga memainkan peranan penting dalam memantau serta mengawal tingkah laku anak-anak mereka daripada terdedah dengan gula-gula berkenaan.
Kerajaan juga perlu melaksanakan kempen kesedaran kepada ibu bapa dan pengawasan terhadap pemasaran produk sedemikian bagi mencegah kesan-kesan yang dapat mengancam generasi anak muda di negara ini.