SUDAHLAH tidak berpuasa, ada pula yang seakan-akan bangga apabila bersiaran langsung (live) di media sosial sambil makan dan minum pada waktu siang pada bulan Ramadan.
Ia susulan tular di media sosial tangkap layar siaran langsung yang memaparkan seorang wanita didakwa sedang dalam pantang selepas bersalin, yang minum pada siang hari tanpa rasa malu.
Menerusi siaran langsung itu, wanita terbabit dilihat membaca dan menjawab komen pengikut sambil ketawa, malah mengakui sedang berpantang dan bangga tidak berpuasa.
Apa yang pada awalnya mungkin dianggap sekadar kandungan santai bersama pengikutnya akhirnya mencetuskan kemarahan ramai kerana dilihat tidak menghormati kesucian bulan Ramadan.
Bagaimanapun, tindakan wanita terbabit yang minum secara terbuka menerusi siaran langsung itu akhirnya mengundang padah apabila ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) untuk siasatan lanjut.
Menurut Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Asri Abdullah, wanita berusia 27 tahun itu ditahan di rumahnya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada jam 12 tengah hari, Selasa.
Beliau memaklumkan, wanita itu dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 berkaitan kesalahan penghinaan atau pencelaan terhadap agama Islam.
Mohd Asri berkata, wanita berkenaan bagaimanapun dilepaskan pada jam 10 malam hari yang sama selepas keterangannya selesai diambil.
Belum reda isu wanita terbabit, kini tular pula tindakan beberapa individu lain yang juga membuat siaran langsung dan didakwa tidak berpuasa.
Dalam Islam, terdapat beberapa golongan yang tidak diwajibkan berpuasa seperti orang gila, wanita hamil, kanak-kanak yang belum baligh dan sebagainya, malah perkara tersebut jelas dari sudut hukum.
Namun begitu, tindakan makan secara terbuka di hadapan orang ramai, apatah lagi ditayangkan secara langsung kepada ribuan penonton, menimbulkan persoalan tentang kewajaran dan kebijaksanaan.
Jika tidak berpuasa atas sebab yang dibenarkan, mengapa perlu disiarkan secara langsung pada waktu siang untuk tontonan umum?
Demi perhatian, tontonan dan interaksi (‘engagement’), ada pengguna media sosial yang sanggup berkongsi apa sahaja tanpa menilai kesan jangka panjang.
Realiti tersebut menunjukkan bagaimana sebahagian pengguna media sosial terperangkap dalam budaya tular sehingga hilang pertimbangan terhadap maruah diri dan sensitiviti masyarakat kerana ghairah mengejar populariti segera.
Perbuatan bersiaran langsung ketika makan pada siang Ramadan mungkin dilihat kecil oleh pelakunya, tetapi bagi masyarakat yang memandang Ramadan sebagai bulan yang perlu dihormati, ia mudah ditafsir sebagai tidak menghormati bulan suci.
Dalam era digital, sempadan antara ruang peribadi dan awam semakin kabur sehingga apa sahaja boleh dirakam dan disiarkan tanpa tapisan, sedangkan kebebasan itu datang bersama tanggungjawab.
Tidak semua perkara perlu dikongsi dan tidak semua yang boleh dibuat secara peribadi wajar dipamerkan kepada umum, apatah lagi jika ia menyentuh sensitiviti agama dan budaya.
Tindakan menayang makan dan minum secara terbuka ketika Ramadan bukan sahaja mengundang kecaman, malah mencerminkan kurangnya pertimbangan.
Lebih tepat, ia boleh dilihat sebagai tindakan tidak bijak yang akhirnya memalukan diri sendiri kerana sekali tular dengan perkara negatif, kesannya boleh berpanjangan dan sukar dipadam.
Sebagai rakyat Malaysia, khususnya orang Islam, gunakan media sosial dengan bijak, jaga adab dan fikirkan kesan sebelum menekan butang ‘live’.
Ingatlah, dalam dunia yang serba terbuka ini, kebijaksanaan menilai apa yang wajar dikongsi menjadi ukuran kematangan sebenar.