Rangka purba buka lembaran sejarah silam

Iklan
Rangka-rangka ini diekskavasi di Gua Chawan, Kelantan antara 2018 hingga 2023 oleh Profesor Madya Dr Zuliskandar Ramli dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara.

PENEMUAN spesimen prasejarah berupa rangka manusia menimbulkan rasa teruja dalam diri penulis kerana setiap rangka yang ditemukan bukan sekadar tinggalan tulang, tetapi saksi bisu kepada kehidupan manusia jutaan tahun lalu.

Dalam dunia semakin moden, penemuan seperti ini seolah-olah menjadi jambatan masa yang membawa kita menelusuri perjalanan panjang tamadun manusia. Melalui kajian saintifik dan analisis arkeologi, rangka manusia prasejarah berupaya membuka lipatan sejarah yang selama ini tersembunyi.

Iklan
Iklan

Bagi penulis, setiap penemuan baharu bukan sahaja menambah pengetahuan, tetapi turut mencetuskan rasa kagum terhadap kebijaksanaan manusia terdahulu dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran mereka.

Nilai ilmiah rangka manusia prasejarah terletak pada keupayaannya mendedahkan pelbagai maklumat penting tentang individu dan komuniti masa lampau. Daripada struktur tulang, ahli arkeologi boleh menentukan jantina, anggaran umur, tahap kesihatan serta ciri fizikal manusia terdahulu.

Iklan

Penemuan rangka 'Lucy' di Hadar, Lembah Awash, Ethiopia pada tahun 1974 oleh paleoantropologis, Donald Johanson misalnya, membuktikan kewujudan spesies Australopithecusafarensis yang hidup lebih tiga juta tahun lalu.

Penemuan ini menjadi bukti bahawa proses evolusi manusia berlaku secara berperingkat dalam tempoh yang sangat panjang.

Iklan

Begitu juga dengan penemuan rangka Neanderthal (Homo neanderthalensis) yang mendiami Eropah dan Asia Barat antara kira-kira 350,000 hingga 40,000 tahun lalu.

Di Asia Tenggara, penemuan rangka manusia di Gua Niah, Sarawak membuktikan kawasan tersebut telah dihuni sejak lebih 40,000 tahun lalu. Ia menonjolkan rantau ini sebagai antara lokasi penting dalam kajian migrasi manusia awal dan mengukuhkan teori bahawa Asia Tenggara memainkan peranan besar dalam laluan pergerakan manusia prasejarah.

Dalam konteks Malaysia, rangka manusia yang ditemui di tapak arkeologi seperti Lembah Bujang, Gua Cha dan Gua Tambun menunjukkan bahawa Semenanjung Tanah Melayu telah menjadi kawasan penempatan manusia sejak zaman Paleolitik dan Mesolitik.

Namun, penemuan rangka manusia berusia kira-kira 14,000 tahun di Gua Keledung Kecil, Lembah Nenggiri, Kelantan oleh pasukan arkeologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberikan dimensi baharu kepada kajian sejarah tempatan apabila ia menjadi yang tertua pernah ditemukan di Semenanjung Malaysia, mengatasi usia Perak Man.

Buat julung kalinya sejak penubuhan Fakulti Perubatan UKM pada 1972, rangka manusia prasejarah dipamerkan di Muzium Anatomi dan Patologi pada 13 Januari lalu.

Penulis berasa teruja kerana dapat melihat sendiri tinggalan manusia berusia 7,000 hingga 9,200 tahun yang seolah-olah membuka jendela masa ke kehidupan manusia purba.

Rangka-rangka ini diekskavasi di Gua Chawan, Kelantan antara 2018 hingga 2023 oleh Profesor Madya Dr Zuliskandar Ramli dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara dan usaha ini dibiayai Tenaga Nasional Berhad bagi memastikan khazanah sejarah tidak musnah akibat projek empangan.

Sebanyak empat rangka dikenalpasti, seorang wanita dan tiga lelaki berusia antara 25 hingga 40 tahun dibawa ke Fakulti Perubatan UKM untuk kajian lanjutan.

Hasil kajian mendapati tulang manusia prasejarah ini sangat mirip dengan populasi moden di rantau ini, menunjukkan kesinambungan biologi manusia merentas ribuan tahun.

Bagi penulis, berdiri di hadapan rangka-rangka ini bukan sekadar melihat artifak, tetapi merasai pengalaman menyentuh sejarah yang hidup.

Keterujaan menyaksikan rangka prasejarah ini membuka kesedaran bahawa setiap penemuan sejarah bukan sekadar data saintifik, tetapi juga jambatan untuk memahami diri sendiri dan perkembangan tamadun manusia.

Rangka manusia bukan sekadar objek kajian tetapi tinggalan individu yang pernah hidup. Oleh itu, aspek etika penyelidikan perlu diberi perhatian termasuk penghormatan terhadap budaya dan sensitiviti masyarakat setempat.

Usaha pemuliharaan tapak arkeologi juga amat penting agar khazanah berharga ini terus terpelihara untuk generasi akan datang.

*Nurhazlin Lydia M Nazri ialah pencipta kandungan Sinar Varsiti