[VIDEO] Sanggup datang dari jauh semata-mata dapatkan bubur lambuk 'gear box'

Iklan

KUALA TERENGGANU - Tradisi memasak bubur lambuk 'gear box' di Pasar Tani Padang Hiliran di sini terus mendapat sambutan hangat setiap kali Ramadan, malah ada yang sanggup datang dari Dungun, Marang dan Kuala Berang semata-mata untuk mendapatkan bubur lambuk istimewa itu.

Penyelaras program, Rohaimi Rashid, 56, berkata, agihan percuma bubur lambuk itu dibuat pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan bermula jam 5 hingga 6.30 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 320 kilogram (kg) juadah tradisional yang dimasak menggunakan empat kawah itu berjaya diagihkan pada hari pertama Jumaat sempena Ramadan kali ini.

"Kami mula memasak seawal jam 9 pagi dan biasanya siap sekitar jam 12 tengah hari. Kemudian, kami akan sambung semula pada jam 2.30 petang untuk pastikan semua bubur lambuk siap dan dapat diedarkan kepada orang ramai.

Iklan

"Apa yang menarik, ada yang sanggup datang dari jauh untuk menikmati bubur lambuk ini dan uniknya, mereka semua perlu bawa bekas masing-masing bagi memudahkan proses agihan kerana kita tidak sediakan bekas.

"Kaedah datang dan bawa bekas sendiri merupakan tradisi turun temurun golongan terdahulu yang kami masih amalkan sejak sekian lama," katanya ketika ditemui pemberita di Padang Hiliran di sini pada petang Jumaat.

Iklan
Orang ramai beratur untuk mendapatkan bubur lambuk 'gear box' di Pasar Tani Padang Hiliran pada Jumaat.

Berkongsi rahsia keenakan bubur lambuk, Rohaimi berkata, resipi asal bubur lambuk itu diperoleh daripada seorang jawatankuasa Masjid Hiliran dikenali sebagai Pok Cik Abas ketika berusia 23 tahun.

Menurutnya, tradisi memasak bubur lambuk secara bergotong royong ini bermula antara 1992 hingga 1993, dengan hanya menggunakan satu periuk kecil.

"Dulu, kami hanya masak satu periuk sahaja, tetapi selepas melihat sambutan orang ramai, kami mula tambah kuantiti. Sekitar 10 tahun lalu, kami mula masak empat periuk.

"Keseluruhan kos dibelanjakan untuk menghasilkan bubur lambuk ini sekitar RM4,000 di mana ia diperoleh daripada hasil sumbangan rakan-rakan serta sokongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)," kongsinya.

Bubur lambuk istimewa ini menggunakan bahan-bahan segar termasuk beras (22 kg), ikan selayang (60 kg), santan (16 kg), gear box (8 ketul), budu serta ulam dan daun kayu seperti ulat bulu, munggal, cekor manis, daun kesum dan daun kemangi.

"Jika menggunakan bekas biasa, kami mampu menyediakan sehingga 1,000 bekas bubur lambuk. Jika bekas lebih besar atau pengunjung bawa bekas sendiri, jumlahnya mampu diagihkan kepada sekitar 500 bekas sahaja,"ujarnya.

Rohaimi berkata, keunikan rasa hasil kombinasi gear box, daging cincang dan resipi ikan, bubur lambuk ini terus menjadi pilihan dan dinanti-nantikan setiap tahun oleh komuniti setempat.

"Saya harap agar tradisi ini akan terus kekal dan bubur lambuk gear box itu mampu dan dipopularkan dari semasa ke semasa," katanya yang turut dibantu, Zaidi Mohamad, 60.