SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa undang-undang pembaharuan bandar yang dirancang digubal kerajaan akan mengakibatkan orang miskin jadi lebih miskin manakala yang kaya akan lebih kaya.
Beliau mendakwa, undang-undang berkenaan juga akan mempercepatkan proses penjualan tanah orang miskin kepada orang kaya.
"Dalam mana-mana masyarakat terdapat puak yang miskin dan puak yang kaya. Yang miskin selalu kekurangan duit. Jika ada apa-apa harta, gadai harta untuk dapat duit. Jika si miskin memiliki sebidang tanah seluas kangkang kera pun untuk dapat duit, jual tanah.
"Siapa yang beli? Orang kaya yang beli. Tiap hari berpuluh ekar tanah milik orang miskin dalam dan luar bandar dijual pada orang kaya.
"Orang miskin terpinggir di luar bandar dan orang kaya akan memiliki seluruh bandar. Undang-undang pembaharuan bandar akan percepat proses ini," ujarnya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berpandangan, keadaan yang dijangka berlaku berkenaan hanya akan menguntungkan orang kaya kerana nilai tanah meningkat.
"Apa terjadi kepada tanah orang miskin yang telah dijual? Orang kaya akan bangunkan tanah dengan kedai dan rumah mewah.
"Dengan itu nilai tanah akan meningkat. Si miskin akan lihat dengan putih mata tanah yang telah dijual menguntungkan pembeli yang kaya," kata beliau.
Sebelum ini kerajaan menegaskan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) perlu digubal bagi membolehkan pembangunan semula kawasan perumahan lama dan usang di bandar.
RUU PSB terbabit yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Julai ini juga dilihat peluang terbaik meremajakan kawasan bandar di seluruh negara terutama perbandaran yang semakin sesak.
Bagaimanapun, cadangan berkenaan mendapat tentangan hebat daripada pemimpin pembangkang kerana mereka berpendapat RUU tersebut bakal meminggirkan kaum tertentu terutamanya golongan berpendapatan rendah.