IPOH - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi Ipoh pada Jumaat menolak keterangan tambahan dikemukakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong Choo Kiong bersabit kes merogol pembantu rumahnya warga Indonesia, enam tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas pihaknya berpandangan keterangan-keterangan yang dikemukakan pihak pembelaan pada 5 Februari lalu adalah bersifat dengar cakap dan tidak wajar diterima.
Menurutnya, mahkamah juga berpandangan keterangan tambahan itu tidak boleh diberi pertimbangan kerana wajud faktor-faktor lain yang menyebabkan kesahihannya diragui.
"Jika sekalipun keterangan tambahan yang dikemukakan berkenaan kes itu relevan dengan OKT (orang kena tuduh), namun undang-undang adalah mantap bahawa keterangan dengar cakap tidak boleh diterima sebagai keterangan dalam perbicaraan kecuali jika ia memenuhi syarat keterangan yang dibenarkan oleh undang-undang.
"Oleh yang demikian, mahkamah ini mendapati keterangan tambahan itu adalah keterangan dengar cakap dan pada masa sama tidak digariskan di bawah Seksyen 32(1) Akta Keterangan 1950," katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi pandangan berhubung bukti baharu dikemukakan pihak pembelaan.
Pandangan tersebut akan dihantar ke Mahkamah Persekutuan untuk digunakan ketika rayuan Paul Yong.
Abdul Wahab berkata, dengan keputusan itu, mahkamah berpandangan bahawa sabitan terhadap tertuduh sebelum ini patut dikekalkan.
Katanya, mahkamah juga ingin mengekalkan keputusan terdahulu bahawa tiada keraguan munasabah yang telah berjaya ditimbulkan oleh pihak pembelaan.
"Bagaimanapun mahkamah menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang Amat Arif hakim-hakim Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan yang sewajarnya," katanya.
Pada prosiding yang berlangsung hampir satu jam itu, pasukan pembelaan diwakili Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir manakala pihak pendakwaan diwakili Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Muhammad Zaki Abdul Kudos bersama Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Qurratu'aini Khalifah.
Pada 5 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh diberitahu bahawa pembantu rumah yang menjadi mangsa rogol dalam kes itu telah mengaku memberi keterangan palsu sebagai alasan untuk pulang ke negara asalnya di Indonesia.
Perkara itu diberitahu saksi pembelaan tambahan, Pathurrahman, 58, seorang peguam yang beralamat di Sumbawa, Indonesia bahawa wanita tersebut datang ke pejabatnya untuk mendapatkan nasihat undang-undang.
Pathurrahman turut membaca dan mengesahkan surat pernyataan bertarikh 21 Mei 2024 di mahkamah serta memaklumkan surat berkenaan dibuat atas arahan mangsa dan mempunyai tandatangan wanita itu.
Mahkamah Persekutuan sebelum ini membenarkan permohonan bekas wakil rakyat DAP berusia 54 tahun itu untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya terhadap sabitan kes merogol pembantu rumahnya.
Panel tiga hakim diketuai Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal membenarkan lima dokumen diterima sebagai bukti tambahan dengan menyifatkannya penting kerana ia kelihatan menunjukkan bahawa mangsa mungkin telah memberikan keterangan yang tidak benar semasa perbicaraan terhadap Paul Yong.
Pada 1 Mac tahun lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan 2-1 mengekalkan sabitan salah terhadap Choo Kiong namun meminda hukuman 13 tahun kepada lapan tahun dan hukuman sebat dua kali dikekalkan.
Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Choo Kiong yang juga bekas Exco Kerajaan Perak bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia di dalam bilik rumahnya di Ipoh antara jam 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.
End