KUANTAN – Seorang akauntan syarikat dan pesara guru menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud sehingga mengakibatkan kerugian keseluruhan mencecah RM414,902.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, laporan polis berhubung dua kes berasingan itu dilaporkan di daerah ini.
Menurutnya, kes pertama membabitkan seorang wanita berusia 21 tahun bekerja sebagai akauntan syarikat mendakwa mengalami kerugian RM240,467 selepas terpedaya dengan iklan pelaburan di Instagram.
"Mangsa melihat iklan pelaburan itu di aplikasi Instagram pada 26 Februari lalu sebelum menekan pautan yang diberikan dan menerima pesanan WhatsApp daripada individu tidak dikenali menawarkan skim pelaburan tersebut.
"Bagaimanapun selepas menyertai pelaburan itu, mangsa tidak mendapat sebarang pulangan dan syak telah ditipu lalu tampil membuat laporan polis," katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Yahaya berkata, kes kedua pula melibatkan seorang pesara guru lelaki berusia 80 tahun mendakwa menjadi mangsa sindiket pelaburan perdagangan mata wang kripto hingga kerugian RM174,435.
"Mangsa menerima panggilan daripada individu tidak dikenali pada 30 Oktober tahun lalu memperkenalkan pelaburan tersebut.
"Mangsa berminat dan membuat pelaburan hampir RM60,000 dan memantau perkembangan pelaburan melalui sebuah aplikasi," katanya.
Menurutnya lagi, sehingga Februari lalu, mangsa mendapati jumlah pelaburannya meningkat kepada AS$3 juta (RM13.3 juta).
"Mangsa berhasrat dan meminta untuk mengeluarkan semua wang itu namun dia perlu membayar cukai RM174,435 sebelum dibenarkan berbuat demikian.
"Teruja dengan wang besar bakal diterima, mangsa menggunakan wang simpanan RM174,435 untuk bayaran itu melalui akaun yang diberikan suspek," katanya.
Beliau berkata, mangsa syak ditipu apabila dia terus didesak membuat bayaran pelbagai cukai dengan jumlah yang lebih besar.
"Kedua-dua kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.