ISU pemandu warga asing yang memandu tanpa lesen sah dan terlibat dalam kemalangan jalan raya perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.
Masalah ini bukan sahaja mengancam keselamatan pengguna jalan raya, tetapi juga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat di negara ini.
Rata-rata orang ramai risau dengan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang.
Kemalangan jalan raya bukan hanya melibatkan kerosakan material, tetapi lebih penting lagi ia melibatkan nyawa.
Tidak kira sama ada pemandu itu warga tempatan atau asing, keselamatan harus menjadi keutamaan bersama.
Kejadian tragis yang berlaku pada Oktober lalu di Johor Bahru jelas menunjukkan betapa seriusnya isu ini.
Seorang wanita kehilangan nyawanya apabila motosikal ditunggangnya dilanggar kereta dipandu seorang warga asing yang tidak mempunyai lesen.
Tragedi ini memberi tekanan besar kepada pihak berkuasa untuk bertindak lebih tegas dan memperbaiki penguatkuasaan undang-undang keselamatan jalan raya.
Menurut laporan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kesalahan trafik yang melibatkan warga asing tanpa lesen semakin meningkat.
Pada tahun 2023 sahaja, sebanyak 107,766 kes kesalahan trafik telah direkodkan, dan hampir 39 peratus daripadanya adalah kes pemandu warga asing yang tidak memiliki lesen sah.
Angka ini amat membimbangkan kerana ia menunjukkan bahawa masalah ini merangkumi seluruh negara.
Memandu tanpa lesen bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi ia juga berisiko besar, lebih-lebih lagi apabila kita melihat peningkatan statistik kemalangan yang melibatkan pemandu tanpa lesen yang sah.
Kejadian seperti ini jelas menunjukkan betapa pentingnya penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat.
Langkah pertama yang perlu diambil adalah pemeriksaan rawak yang lebih kerap terhadap pemandu asing. Hukuman yang lebih berat juga perlu dikenakan kepada mereka yang didapati memandu tanpa lesen yang sah.
Tanpa tindakan tegas, masalah ini akan terus memburukkan keadaan, yang seterusnya membahayakan keselamatan awam.
Kesedaran di kalangan pemilik kenderaan juga perlu dipertingkatkan. Pemilik kenderaan harus lebih bertanggungjawab untuk memastikan pemandu yang mereka lantik atau benarkan memandu kenderaan mereka mempunyai lesen yang sah.
Tanpa kesedaran ini, kemalangan akan terus berlaku, dan akhirnya, keselamatan semua pengguna jalan raya akan terancam.
Pemilik kenderaan juga perlu sedar bahawa kesilapan mereka boleh membawa akibat yang lebih buruk, seperti yang berlaku di Putatan, Sabah, di mana sebuah lori yang dipandu oleh warga asing merempuh 14 kenderaan di hadapan Sekolah Kebangsaan Tansau.
Walaupun tiada kematian, kerugian material yang ditanggung oleh pemilik kenderaan sangat besar.
Kemalangan yang melibatkan pemandu warga asing memberi impak besar terhadap masyarakat dan ekonomi negara.
Selain kehilangan nyawa, kesan dari kemalangan ini juga boleh mencetuskan kerugian besar dalam bentuk harta benda dan kos perubatan.
Oleh itu, adalah penting untuk mengambil langkah-langkah tegas dalam menangani isu ini dengan lebih sistematik dan holistik.
Kerjasama antara pihak berkuasa, pemilik kenderaan, dan masyarakat merupakan kunci untuk memastikan jalan raya di negara ini lebih selamat untuk semua pihak.
Pihak berkuasa perlu mempergiatkan usaha penguatkuasaan, manakala pemilik kenderaan perlu lebih bertanggungjawab dalam memastikan pemandu yang dibenarkan memandu kenderaan mereka memiliki lesen yang sah.
Masyarakat juga perlu sentiasa peka dan memainkan peranan mereka dalam mematuhi peraturan jalan raya.
Dengan langkah-langkah ini, kita dapat menjadikan jalan raya di negara ini lebih selamat, bukan hanya untuk diri kita sendiri, tetapi juga untuk orang lain.
Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama, dan dengan kerjasama daripada semua pihak, kita boleh mengurangkan insiden kemalangan yang melibatkan pemandu warga asing dan memastikan keselamatan untuk semua.
*Siti Shamila Che Zahari ialah Sub Editor Sinar Harian