TV ALHIJRAH terus mengukuhkan peranannya sebagai stesen penyiaran Islam utama dengan mempersembahkan program khas sempena Ramadan dan Syawal 1446H/2025.
Bertemakan 'Ramadan: Merindui Taubat Hamba-Nya, Syawal: Istiqamah Cahaya Ketakwaan', rangkaian program stesen televisyen itu dirancang bagi membimbing masyarakat dalam mendalami ibadah sepanjang bulan penuh keberkatan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, TV AlHijrah bukan sekadar platform penyiaran, sebaliknya berperanan sebagai medan dakwah dalam memperkukuh kefahaman Islam di Malaysia.
"Alhijrah telah meletakkan pendekatan kreatif dan moden dalam menyampaikan mesej Islam secara progresif dan interaktif.
"Kita mahu penyampaian dakwah ini bukan sahaja relevan dengan perkembangan teknologi, tetapi juga mampu menyentuh hati dan jiwa penonton," katanya.
Beliau turut memuji usaha TV AlHijrah dalam merangka pelbagai program istimewa bagi menyemarakkan Ramadan dan Syawal tahun ini.
Antara program yang ditayangkan termasuk Peristiwa Wanita Akhir Zaman, yang membincangkan cabaran dan peristiwa melibatkan wanita dengan pendekatan interaktif; Tadarus On The Go, sebuah program tadarus al-Quran setiap malam membolehkan penonton berinteraksi secara langsung dengan qari pilihan; serta Jalan Taubat, program muhasabah mengetengahkan perjalanan rohani individu dalam mencari keampunan dan hidayah.
Selain itu, tayangan rancangan seperti Qalbun Saleem, Cinta Ilmu Istimewa Ramadan dan Khatam Ramadan 1446H.
Dalam pada itu, seiring dengan semangat dakwah, Mohd Na'im menegaskan bahawa TV AlHijrah memainkan peranan penting dalam menyebarluaskan kefahaman Islam melalui pendekatan media yang lebih kreatif dan moden.
"Dalam realiti semasa ledakan media sosial termasuk Artificial Intelligence (A.I), TV AlHijrah perlu melipatgandakan usaha untuk menghasilkan produk yang benar-benar mampu memikat rakyat agar terus kekal setia menonton TV Al-Hijrah.
"Ini kerana rakyat yakin kandungan penyiaran yang ditawarkan benar-benar ilmiah, menambah ilmu pengetahuan serta sahih. Ini adalah kekuatan yang mesti diperteguhkan oleh TV AlHijrah,” ujarnya lagi.