JOHOR BAHRU – Kerajaan berusaha menambah baik kelancaran pergerakan rentas sempadan Malaysia-Singapura dengan pelaksanaan beberapa inisiatif baharu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambak Johor.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof itu membincangkan langkah segera bagi menangani isu kesesakan di pintu masuk utama negara.
"Antara inisiatif akan dilaksanakan termasuk sistem kod QR bagi lorong kenderaan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), selain penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap bas kilang mengambil penumpang secara tidak terkawal.
"Kita juga akan menyusun semula syif pegawai imigresen bagi meningkatkan kecekapan kaunter manual serta membuka laluan pejalan kaki dari Jalan Lingkaran Dalam ke laluan bas masuk BSI,” katanya dalam muat naik di Facebook miliknya pada Rabu.
Menurut beliau, kerajaan turut memperuntukkan RM58.07 juta bagi melaksanakan 16 projek pembangunan fizikal di CIQ BSI dan KSAB, termasuk penggantian lif, eskalator dan travelator yang uzur.
Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir Ts Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Onn Hafiz menegaskan, usaha menaik taraf infrastruktur ini amat penting bagi memastikan keselesaan pengguna, terutama dengan peningkatan jumlah pengembara yang kini mencecah 500,000 orang sehari.
"Kewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menjadikan kelancaran pergerakan rentas sempadan semakin kritikal. Oleh itu, pelaksanaan inisiatif ini perlu dipercepat bagi memastikan rakyat tidak terus terbeban dengan masalah kesesakan,” katanya.
Beliau berharap projek naik taraf ini dapat diselesaikan mengikut jadual bagi memperkukuh imej Johor sebagai pintu masuk utama negara yang lebih cekap dan mesra pengguna.