Bazar Ramadan tumpuan pengunjung di Ipoh sedia ambulans

Iklan
Khemah khas perubatan dan ambulans disediakan di hadapan laluan masuk ke Bazar Ramadan Pekarangan Stadium Perak di sini.

IPOH - Beberapa bazar Ramadan beroperasi di bandar raya Ipoh menyediakan perkhidmatan ambulans jika berlaku kecemasan melibatkan pengunjung mahupun peniaga.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, inisiatif tersebut disediakan oleh pihak penganjur bazar Ramadan yang berskala besar seperti di Bazar Ramadan Pekarangan Stadium Perak, di sini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihak penganjur juga mempunyai petugas masing-masing yang memantau keselamatan pengunjung selain penguat kuasa turut berada bazar-bazar Ramadan di negeri ini.

"Di bazar Stadium ini sebagai contoh, terdapat papan info yang memaparkan maklumat gerai serta nombor kecemasan bagi sebarang insiden memerlukan mereka untuk dihubungi.

Iklan

"Tahun ini, ambulans turut disediakan supaya dapat memastikan kesejahteraan orang ramai khususnya di beberapa bazar berskala besar, manakala lokasi lain kita bekerjasama dengan pejabat kesihatan dan hospital berdekatan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bazar Ramadan Pekarangan Stadium Perak di sini pada Selasa.

Iklan

Hadir sama pada majlis tersebut, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan beberapa Ahli Majlis Bandaraya Ipoh.

Pada Isnin, media melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan langkah keselamatan ditingkatkan susulan insiden seorang warga emas meninggal dunia di sebuah bazar Ramadan di Baling pada Ahad.

Sandrea (lima dari kiri) ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Bazar Ramadan Pekarangan Stadium Perak di sini pada Selasa.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementerian itu menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengurusan bazar supaya memastikan kemudahan kecemasan dapat diakses dengan segera sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Sandrea memaklumkan sehingga Isnin sebanyak 368 premis gerai bazar Ramadan di sekitar bandar raya Ipoh telah diperiksa.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 12 tawaran kompaun bernilai RM3,750 telah dikeluarkan kepada peniaga termasuk satu kompaun bernilai RM1,000 kerana beroperasi tanpa lesen.

Katanya, selain itu terdapat satu insiden melibatkan seorang peniaga yang menjual tapak kepada pihak ketiga di sebuah bazar Ramadan di Ipoh.

Sandrea berkata, tindakan tegas telah diambil dengan tidak mengeluarkan lesen gerai bazar Ramadan kepada peniaga terbabit.