SHAH ALAM - Seorang pemerhati politik berpendapat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mungkin perlu berdepan dakwaan pengubahan wang haram jika siasatan SPRM menemui bukti kukuh untuk mengaitkan beliau dengan kes tersebut.
Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, kes bekas Perdana Menteri sebelum ini iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan kedudukan sebagai pemimpin bukan jaminan untuk terlepas daripada tindakan undang-undang.
"Dalam konteks ini, kelangsungan politik Ismail Sabri akan bergantung kepada perkembangan siasatan SPRM.
"Kalau Ismail Sabri didakwa, ini akan mengukuhkan persepsi bahawa ketiga-tiga Perdana Menteri berdepan isu integriti, seterusnya menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kepemimpinan negara,” katanya.
Ujar Hussain Yusri, dari sudut politik, perkembangan siasatan tersebut boleh memberi kesan kepada UMNO terutama dalam konteks kepimpinan parti dan hubungan dengan Kerajaan Perpaduan kerana Ahli Parlimen Bera itu masih berpengaruh dalam kalangan penyokong parti.
Tambah Hussain Yusri, peningkatan tindakan SPRM menyiasat individu berprofil tinggi boleh ditafsirkan dalam dua perspektif utama iaitu sama ada sebagai usaha serius membanteras korupsi atau sekadar alat politik untuk menekan pihak tertentu.
"Walaupun tindakan itu mencerminkan keazaman SPRM untuk membanteras rasuah tanpa mengira kedudukan individu terlibat, namun ada juga pandangan sebaliknya terutama jika hanya tokoh tertentu disiasat manakala yang lain terlepas daripada tindakan serupa,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, pihak berkuasa tidak sepatutnya hanya menangkap dan mendakwa orang yang menerima tetapi tangkap dan dakwa juga orang yang memberi supaya mereka berasa takut.
"Sebab itu akta pendanaan politik perlu dilaksanakan agar kita boleh tahu siapa yang terima dan siapa yang menyumbang.
"Pemuda UMNO mendesak agar kerajaan mempercepat rang undang-undang pendanaan politik untuk dibentang dan dilaksana dengan segera,” katanya di Facebook.