GEORGE TOWN - Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan memulakan siasatan terhadap seorang pegawai perubatan sebuah hospital di sini yang didakwa berkelakuan tidak senonoh di tempat kerja sehingga membawa penahanannya pada Rabu lepas.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Fazilah Shaik Allaudin berkata, pihaknya juga memaklumkan kes membabitkan doktor lelaki berusia 43 tahun berkenaan kepada Unit Integriti jabatan itu.
"Siasatan kes akan turut dilakukan JKNPP, namun kami perlu mendapatkan hasil siasatan polis terlebih dahulu dan terdapat beberapa proses yang perlu diikuti.
"Tindakan selanjutnya ke atas pegawai tersebut masih dalam perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.
Semalam Bernama melaporkan doktor itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas perintah reman terhadapnya tamat 2 Mac dan polis ketika ini sedang melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.
Polis dilaporkan menahan pegawai perubatan itu di sebuah hospital di sini kira-kira jam 9.30 malam Rabu selepas menerima maklumat daripada pihak hospital berhubung kejadian berkelakuan tidak senonoh di tempat kerja. - Bernama