Buntu fikir nasib anak, pasangan suami isteri letak tabung di masjid

Iklan
Siti Salwati (kiri) menunjukkan mata kanan Mohd Fahmi Saifudin yang buta selepas kemalangan pada Disember tahun lalu.

KOTA BHARU - Pasangan suami isteri di sini buntu memikirkan nasib anak mereka yang dimaklumkan akan buta kedua belah mata jika tidak memasang alat khas di dalam kepalanya selepas terlibat kemalangan awal Disember tahun lalu.

Mereka terpaksa menolak perasaan malu dengan meminta derma daripada orang ramai selepas dimaklumkan alat khas itu berharga RM20,000 dan kos berkenaan tidak termasuk ubat serta rawatan di hospital.

Iklan
Iklan

Menurut Siti Salwati Ramli, 47, doktor memaklumkan anaknya, Mohd Fahmi Saifudin Mohd Faiza Mohd Ariffin, 20, dijangka melakukan pembedahan pada 22 April depan jika alat itu sudah disediakan.

"Saya tidak mungkin dapat mengumpul wang sebanyak itu dalam tempoh singkat kerana hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan manakala suami, Mohd Faiza, 47, juga pembantu peniaga air," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gondang, di sini pada Isnin.

Iklan

Tambahnya, mereka dimaklumkan tentang perkara itu dua minggu lalu dan beberapa usaha terus dilakukan termasuk meletakkan tabung di masjid dan menguar-uarkan di media sosial.

"Pada pemahaman saya jika alat itu tidak dipasang akan mengakibatkan biji matanya terkeluar kerana pergerakan saraf dan itu sangat membimbangkan," katanya.

Iklan

Wanita itu juga difahamkan jika alat berkenaan tidak dimasukkan, saraf bahagian kanan kepala anaknya akan mengalami masalah yang turut memberi kesan terhadap mata kirinya.

Siti Salwati menjelaskan, selepas kemalangan itu, anaknya tidak boleh melakukan kerja berat kerana cepat penat dan mengalami pendarahan hidung.

"Mohd Fahmi Saifudin kini hanya bekerja sebagai tukang cuci kereta berdekatan rumahnya untuk perbelanjaan sendiri," jelasnya.

Menurutnya, lebih menyukarkan apabila tiga anaknya berusia 7 hingga 13 tahun masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan.

Menceritakan kejadian kemalangan itu, Siti Salwani memberitahu, Mohd Fahmi Saifudin terbabas kira-kira jam 4 pagi selepas terkejut melihat kelibat seekor anjing ketika pulang mengambil bapa saudaranya di stesen bas di bandar Ketereh.

"Bahagian kanan kepalanya cedera terhentak di tiang telefon dan dirawat selama 10 hari di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia.

"Akibat kejadian itu juga, mata kanannya disahkan buta," katanya.

Sementara itu, Mohd Fahmi Saifudin berharap, usaha ibu bapanya membuahkan hasil kerana dia juga mahu bekerja dan membantu keluarga.

"Saya berdoa semoga ada rezeki bagi membolehkan kesihatan saya lebih baik dan tidak mahu menjejaskan penglihatan kedua-dua mata," katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan melalui akaun Bank Islam bernombor 0304 5022 457610 atas nama Siti Salwati atau menghubunginya di talian 012 9630731.