Bazar Ramadan: Peniaga terpaksa naik harga RM1 atau RM2

Iklan
Harga jualan makanan dan minuman di bazar Ramadan dijangka mengalami peningkatan susulan kenaikan sewa tapak sehingga 30 peratus. Foto hiasan (Gambar kecil dari kiri: Nur Natasha, Ainol Adilah, Wan Nurul Syahidda)

SHAH ALAM - Harga jualan makanan dan minuman di bazar Ramadan Stadium Shah Alam dijangka mengalami peningkatan susulan kenaikan sewa tapak sehingga 30 peratus.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata peniaga mengakui terpaksa menaikkan harga antara RM1 atau RM2 untuk menampung sewaan tapak dan kos bahan mentah yang semakin meningkat.

Iklan
Iklan

Peniaga makanan laut, Ainol Adilah Abdul Rahman, 39, berkata, terpaksa menaikkan harga kerang bakar kepada RM12 berbanding RM10 pada tahun lalu.

Bagaimanapun, menurutnya, dia mengekalkan harga jualan bagi makanan laut yang lain seperti kerang, mentarang, tiram, lala, kepah dan siput sedut meskipun berdepan dengan peningkatan kos.

Iklan
Muhammad Hafiz bersama isteri di hadapan tapak bazar Ramadan pada tahun lalu.

"Tahun ini saya akan menaikkan harga beberapa jualan makanan disebabkan harga barang mentah sangat tinggi untuk penyediaan keperluan berniaga dan menjadi cabaran utama buat kami.

"Malah, sewa tapak juga naik daripada RM1,100 kepada RM1,400 tetapi kali ini kami dapat tapak besar dan masih berbaloi.

Iklan

"Ini tahun ke sembilan kami berniaga di sini dan insya-ALLAH kami cuba untuk mengekalkan harga pada kadar mampu untuk orang ramai membeli,” katanya pada Sabtu.

Sementara itu, seorang lagi peniaga air balang, Muhamad Hafiz, 34, berkata, jualan minumannya juga terpaksa dinaikkan daripada RM4 kepada RM5 bagi setiap satu cawan berukuran besar.

Dia tidak mempunyai pilihan lain selain menaikkan harga bagi menampung kos bahan mentah semakin meningkat dan dalam masa sama mahu menjaga kualiti air balang jualan tersebut.

"Kami telah membuat persediaan untuk berniaga di bazar ini secara berperingkat termasuk mencipta perisa baharu dan harga juga kami terpaksa naik memandangkan bahan mentah seperti susu, pati, cawan dan plastik meningkat.

"Selain bahan mentah, kadar sewa tapak juga telah dinaikkan kepada RM1,300. Jadi, ini memberi cabaran baharu kepada kami yang baharu lagi dalam bidang perniagaan yang memasuki tahun ketiga.

"Tahun lepas ramai pelanggan beri maklum balas yang air kami sedap dan harga masih berpatutan, jadi tahun ini saya naikkan sedikit harga untuk mengekalkan kualiti sama,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut pekerja swasta, Wan Nurul Syahidda Taufiq, 43, akan memperuntukkan sehingga RM60 sehari untuk membeli juadah di bazar Ramadan berikutan telah menjangkakan peningkatan harga jualan.

"Saya lebih banyak memasak di rumah untuk jimat kos tapi tetap akan membeli di bazar juga untuk pelbagaikan jenis lauk atau kuih terutama pada hari sibuk," katanya akan belanja antara RM40 hingga RM60 sehari.

Selain itu, seorang lagi pekerja swasta, Nur Natasha Ya’omar, 41, merancang untuk memasak sepanjang Ramadan berikutan pelepasan awal waktu bekerja oleh syarikat.

"Saya telah membuat persiapan hampir 90 peratus melibatkan penyediaan pes makanan untuk memudahkan saya masak selepas bekerja kerana saya lebih suka masak di rumah.

"Lebih jimat dengan menu yang mudah dimasak, malah idea masakan oleh pempengaruh media sosial juga pasti banyak dan akan cuba tapi jika ada viral atau rasa teringin, saya akan beli juga di bazar,” katanya.